KOTA BHARU - Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Andy Tan berjanji akan menaja konsert kumpulan rock legenda, Wings jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Andy yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama berkata, konsert itu merupakan hadiah kepada pengundi yang mahukan perubahan di kawasan berkenaan.
"Kita juga percaya ramai peminat setia kumpulan rock itu di negeri ini yang mahu menyaksikan secara dekat artis kesayangan mereka yang pernah menjadi fenomena sebelum ini," katanya ketika memaklumkan tawaran parti itu kepada pengundi DUN Kota Lama di sini pada Isnin.
Andy memberitahu, tawaran lain yang diberikan ialah pembinaan pusat pemasangan motosikal mewah, Harley Davidson.
"Ramai orang Kelantan menunggang motosikal ini dan sudah pasti saya berusaha untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.
Tambah beliau, bandar Kota Bharu juga perlu diperindahkan untuk menarik pelancong dan antara yang difikirkan ialah pembinaan kereta kabel merentasi Sungai Kelantan dari bandar Kota Bharu ke Palekbang.
"Kelantan juga perlu penambahan pusat peranginan dan pelancongan di sekitar sungainya," katanya.
Andy berdepan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, Dr Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan) dan Zamri Ismail (Pas).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Andy bertanding kerusi Parlimen berdepan lima calon iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail; Profesor Datuk Dr Che Musa Che Omar (Gerakan Tanah Air-Putra), Dr Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!