BATU PAHAT – Lokasi terakhir yang menjadi persinggahan konvoi Diraja Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 pada Isnin iaitu di Pusat Pertanian Parit Botak di sini, mencipta detik istimewa apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengacau dodol bersama rakyat.
Tunku Ismail yang mengetuai konvoi berkenaan tiba di lokasi bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta Datuk Dennis Muhammad Abdullah kira-kira jam 2.30 petang.
Tunku Ismail kemudiannya berangkat ke khemah memasak dodol dan mencemar duli mengacau manisan tersebut bersama penduduk.
Konvoi diraja berkenaan meluangkan masa selama 30 minit melakukan aktiviti bersama rakyat termasuk melakukan simbolik bagi memulakan acara menarik tali perahu, menyaksikan acara memanjat tiang licin serta persembahan rakit kampung.
Sementara itu, Tunku Idris, Tunku Abu Bakar dan Dennis Muhammad menyaksikan pertunjukan kupas kelapa, tarik upih serta lari dalam sarung di lokasi terakhir KMJ 2023 bagi hari ketiga.
Konvoi keluarga diraja tersebut kemudian meninggalkan majlis sekitar jam 4 petang untuk beristirahat di Rumah Datang-Datang di sini.
KMJ edisi ke-23 itu bakal melabuhkan tirainya pada Selasa dengan merentasi tiga daerah bermula dari Batu Pahat, Pontian dan berakhir di Mukim Sedenak, Kulai.