Kebebasan media pada zaman PH berkuasa

Iklan

TUMBANGNYA rejim Order Baru pimpinan Presiden Suharto pada 28 Mei 1998 di Indonesia telah melakar satu era baharu terhadap kebebasan media di negara jiran kita itu.

Kongkongan dan kawalan ketat pemerintah semasa era Sukarno dan Suharto terhadap institusi yang dipanggil sebagai estet keempat itu berakhir.

Iklan
Iklan

Surat Ijin Usaha Penerbitan Pres (SIUPP), menyamai permit penerbitan Kementerian Dalam Negeri di negara ini, tidak lagi diperlukan untuk menerbitkan akhbar dan majalah.

Tidak ada akhbar atau majalah ditutup kerana bersikap kritikal terhadap pemerintah, seperti yang pernah dialami oleh majalah mingguan Tempo pada zaman Suharto, pada era pasca reformasi.

Iklan

Produk media di alam nyata dan alam maya tumbuh bak cendawan lepas hujan. Tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 turut membawa kesan yang sama terhadap kebebasan media di negara ini.

Menurut Tokoh Wartawan Negara 2018, Tan Sri Johan Jaaffar, angin segar kebebasan yang dinikmati oleh pengamal media di Indonesia 20 tahun sebelum itu, turut bertiup ke negara ini. Setelah berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenuhi sebahagian janji-janjinya untuk mewujudkan iklim kebebasan media yang lebih baik seperti yang dizahirkan dalam Janji 27 Buku Harapan.

Iklan

Akta Antiberita Tidak Benar 2018, yang diperkenalkan oleh kerajaan BN secara tergesa-gesa menjelang PRU ke-14 dan dianggap sebagai mengongkong oleh para pengamal media, dimansuhkan pada persidangan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2018.

Media arus perdana yang terang-terangan berkempen menentang PH sebelum dan semasa kempen PRU ke-14 berlangsung, seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan stesen TV3, tidak ditutup atau digantung penerbitannya.

Ada antara para penyokong PH mendesak supaya kerajaan PH mengambil tindakan menghukum media arus perdana yang memburuk-burukkan parti pembangkang sewaktu BN berkuasa, tetapi kalangan yang berkuasa tidak berbuat demikian. Sebaliknya mereka bertindak waras.

Media antiPH dibiarkan beroperasi seperti biasa dan kerajaan baharu menyerahkan sepenuhnya kepada para pemilik dan pimpinan editorialnya dalam mentakrifkan hubungan masing-masing dengan kerajaan baharu yang berkuasa di Putrajaya berasaskan kebebasan baharu yang diberikan kepada mereka.

Tidak ada campur tangan langsung kerajaan PH dalam menentukan dasar editorial kepada para pengarang media untuk menentukan apa-apa berita yang mahu dibesarkan atau digelapkan kecuali barangkali dalam organisasi media yang dimiliki oleh kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) yang bernaung di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia dan agensi berita nasional (BERNAMA).

Status RTM sebagai sebuah jabatan kerajaan dikekalkan, barangkali buat sementara waktu ini. Janji PH dalam Buku Harapan adalah untuk menjadikan RTM sebagai sebuah badan penyiaran awam yang profesional, setaraf dengan British Broadcasting Corporation (BBC), Australian Broadcasting Corporation (ABC) atau NHK di Jepun.

Tetapi sama ada janji tersebut benar-benar akan dilaksanakan atau sekadar satu lagi janji yang tidak akan direalisasikan tentulah menjadi tandatanya.

Hal ini dikatakan demikian kerana selepas setahun memerintah, tidak kedengaran sebarang cadangan serius dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab mengawal selia RTM untuk merealisasikan janji tersebut.

Sebaliknya kerajaan PH kelihatan lebih selesa mengekalkan RTM sebagai sebuah media milik kerajaan bagi membolehkan organisasi media itu digunakan untuk memberi publisiti kepada para pemimpin kerajaan dan menggelapkan berita-berita pembangkang, sama seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN.

Pada hal perbuatan RTM menggelapkan berita-berita pembangkang serta pandangan alternatif yang lain semasa BN berkuasa itulah yang dikritik secara lantang oleh PH. Setelah menjadi kerajaan, PH sekadar meneruskan tradisi BN dalam menggunakan RTM sebagai"jentera propagandanya.”

Tetapi masih belum terlambat untuk PH membuktikan bahawa janjinya untuk mentransformasi RTM menjadi sebuah badan penyiaran awam bukanlah sekadar janji kosong sebaliknya janji itu mahu dijadikan kenyataan dalam baki empat tahun pemerintahannya, sama seperti keseriusannya untuk menubuhkan sebuah Majlis Media Malaysia bagi mewujudkan mekanisme kawalan kendiri bagi industri media swasta.

Penubuhan Majlis Media Malaysia, yang pertama kali disuarakan pada 1974 itu, kini dalam peringkat akhirnya. Selain itu, dalam konteks mewujudkan kebebasan media, PH tidak harus berdolak dalik dalam memansuhkan sebilangan kerangka perundangan yang secara langsung atau tidak langsung mengongkong media yang telah dizahirkan dalam Janji 27 Buku Harapan.

Ini termasuklah antara lain memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Hasutan 1948; beberapa peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Elok juga demi mewujudkan kebebasan media sebenar kerajaan PH memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan menggantikannya dengan Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information Act yang telah lama diperkenalkan di banyak negara maju.

Ada baiknya juga sebuah akta yang memberi pelindungan kepada para wartawan merahsiakan sumber maklumat berita bagi isu-isu berkaitan kepentingan awam digubal, menyamai The Shelds Act yang terdapat di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Undangan-undang ini jika diwujudkan akan memberi pelindungan tambahan kepada wartawan untuk melakukan kerja-kerja penyiasatannya.

Sekiranya kebebasan media boleh dijadikan sebagai salah satu jaminan Perlembagaan Persekutuan sama seperti the First Amendment yang terdapat di Amerika Syarikat, maka baharulah Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati apabila soal kebebasan media ini diperkatakan.

Tidaklah kebebasan media yang dijanjikan itu sekadar indah khabar dari rupa! Percayalah jika segala segala yang diikrarkan dalam Janji 27 Buku Harapan boleh dilaksanakan oleh kerajaan PH dalam empat tahun akan datang, maka kedudukan Malaysia dalam World Press Freedom Index yang diterbitkan oleh Reporters Without Border di Paris setahun sekali itu akan berupaya ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

Bagi indeks 2019, yang diterbitkan pada 18 April lalu, kerajaan PH berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia pada tangga 123, berbanding 145 pada 2018 daripada 180 buah negara yang ditinjau, tetapi dari segi kategori kita masih berada pada tahap buruk, bukannya memuaskan atau baik.

*Datuk Chamil Wariya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia