Pekebun rugi RM72,000 diperdaya Macau Scam

Iklan
Mohd Wazir

KUANTAN - Seorang pekebun mengalami kerugian RM72,000 selepas diperdaya anggota sindiket Macau Scam 24 April lalu.

Mangsa berusia 60 tahun membuat pindahan wang ke dalam akaun yang tidak dikenali kononnya untuk proses pemeriksaan 'polis' selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita itu mendakwa pihak polis ingin memeriksa akaun milik mangsa sama ada terlibat dengan seorang lelaki yang terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan jual beli dadah.

"Suspek memaklumkan bahawa akaun bank mangsa terlibat dengan seorang penjenayah yang dikenali sebagai 'Wong Ka Ting'. Mangsa menafikan dia mengenali lelaki itu dan tidak pernah terlibat dengan mana-mana kes jenayah.

Iklan

"Sebagai bukti tidak terbabit dengan kes berkenaan, mangsa diminta untuk memindahkan wang berjumlah RM72,000 bagi proses pemeriksaan semua akaunnya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selepas menerima ugutan sedemikian, mangsa terus membuat pindahan wang RM72,000 dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek.

Iklan

Jelasnya, suspek gagal dihubungi setelah wang tersebut dimasukkan dan mangsa menyedari dirinya sudah ditipu sindiket terbabit. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini untuk tindakan lanjut oleh pihak polis.

Mohd Wazir berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menyamar sebagai pihak polis.

"Kebiasaannya anggota sindiket menakutkan mangsa dengan mendakwa mereka mempunyai kes polis. Dakwaan itu akan mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Mohd Wazir berkata, polis sudah berulang kali mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan perangkap Macau Scam.

"Orang ramai diingatkan supaya menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk semakan kesahihan jika mendapat panggilan yang mencurigakan," katanya.