BAYAN LEPAS - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut apabila rumah yang didiami sejak 15 tahun lalu dihempap sepohon pokok di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar awal pagi tadi.
Ketika kejadian jam 3.30 pagi itu, Hasshim Ahmad, 76 sedang tidur bersama isterinya, Salbiah Man, 74 dalam bilik utama rumah mereka yang terletak di tepi pantai di sini.
Menurut anak pasangan itu, Rosita Hasshim, ketika kejadian, hanya pasangan itu sahaja berada dalam rumah berkenaan.
Tambahnya, pokok ketapang yang berusia lebih 50 tahun itu tumbang ketika angin kuat awal pagi tadi.
"Masa mak dan ayah tengah tidur, mereka terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Ketika itu, pokok sebesar dua pemeluk manusia dewasa itu dah hempap bumbung rumah.
"Terkejut dan panik, kedua-dua mereka dalam keadaan berpelukan mencari jalan keluar dari rumah kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian tadi.
Rosita berkata, dia bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian itu.
"Syukur mak dan ayah tak cedera apa-apa, cuma mereka masih terkejut kerana bunyi dentuman yang sangat kuat. Nasib baik mereka tidak dihempap kerana masa jadi tu, mereka sedang nyenyak tidur.
"Jika sebelum ini, anak saya akan tinggal dengan mak dan ayah jika saya kerja. Tetapi malam tadi, anak saya tidur di rumah saya sebab saya tak kerja," katanya.
Dia berkata, ibu dan bapanya akan tinggal dengannya yang tinggal berdekatan kerana keseluruhan bumbung rumah tersebut rosak.
"Keseluruhan bumbung rosak dan ada barang-barang dalam rumah turut rosak terkena hujan. Masa kejadian, hujan lebat. Mana yang masih elok, kami angkat letak di rumah saya.
"Buat masa ini, rumah ini tak selamat untuk diduduki. Oleh itu, mak dan ayah akan duduk dengan saya dulu.
"Mujur pokok itu tak terkena pada rumah orang lain juga. Apa-apa pun saya bersyukur kerana mak dan ayah selamat," katanya.
Pada ketika ini, kerja mengalihkan pokok berkenaan belum selesai dan kerja-kerja menyelamat sedang dilakukan.
Kerja-kerja itu dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampung Terang dan Bomba Sukarela Gertak Sanggul yang tiba di tempat kejadian pagi tadi.
Sementara itu, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, kerja menyelamat mengalami kesukaran kerana pokok berkenaan menghempap keseluruhan bumbung rumah berkenaan.
"Kita kena guna bantuan 'sky lift' untuk mengalih pokok berkenaan. Pasukan menyelamat sedang gigih berusaha menjalankan kerja menyelamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.