PRN: Rakyat Kelantan perlu lupakan kerajaan Pas - Ahmad Zahid

Iklan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Program Desa Cerdas KEMAS di Plaza IMT-GT Bukit Bunga. - Foto Bernama

TANAH MERAH - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat Kelantan melupakan kerajaan Pas yang sudah 33 tahun memerintah di negeri ini.

Menurut beliau, rakyat negeri itu perlu memanfaatkan peluang yang hanya datang setiap kali pilihan raya untuk perubahan kerajaan baharu.

Iklan
Iklan

"Mereka harus berlapang dada dan berfikiran terbuka. Lupakanlah semua yang sudah dilakukan oleh kerajaan negeri selama 33 tahun ini.

"Buka buku baharu, Kerajaan Pas dah cukup lama di negeri ini. Cuba pilih kami sekali untuk satu penggal,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Program Desa Cerdas di Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga, di sini pada Isnin.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) komited dalam merealisasikan manifesto jika diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, perkara paling utama dalam manifesto tersebut ialah menghapuskan tunggakan bil air keseluruhan rakyat di negeri ini sebaik sahaja menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Iklan

"Kita perlu tukar demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sebagaimana manifesto yang ditawarkan iaitu berkaitan dengan masalah air di Kelantan. Rakyat terpaksa membayar bil walaupun air tidak keluar, jadi kita hapuskan semua bil yang tertunggak.

"Permasalahan lain seperti cukai tanah dan bayaran-bayaran premium untuk penukaran syarat serta sebagainya akan diturunkan sebanyak 50 peratus oleh kerajaan baharu nanti,” ujar beliau.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan hak-hak yang sepatutnya dinikmati di negeri Kelantan bahkan terlalu banyak inisiatif dilakukan setara dengan negeri-negeri lain.

Kata beliau, Kerajaan Perpaduan terbukti bukan hanya bercakap kosong, tetapi pelaksanaan dan impak pembangunan yang dilakukan dapat dirasai oleh masyarakat di desa dan pedalaman meskipun berdepan situasi ekonomi sangat mencabar.

"Justeru, saya ingin mengajak semua untuk melihat dan berfikir dengan lebih rasional terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan.

"Sejujurnya saya sendiri tidak nampak di mana relevannya sesetengah pihak yang membuat dakwaan bahawa kerajaan ini bersikap pilih kasih dan menganaktirikan negeri-negeri yang tidak sehaluan politik,” katanya.