Sanusi main bola sepak disaksikan lebih 1,000 penyokong

Iklan
Penyokong PN mengambil kesempatan bertemu dan bergambar dengan Muhammad Sanusi.

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini tidak hadir dua ceramah politik sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), dilihat turun padang menyertai perlawanan bola sepak di Felda Teloi Timur di sini pada Isnin.

Ketibaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) pada jam 6.13 petang itu disambut lebih 1,000 penyokong yang telah setia menunggu di padang awam berkenaan seawal jam 4 petang.

Orang ramai menunggu seawal jam 4 petang untuk bertemu dengan Muhammad Sanusi.

Iklan
Iklan

Muhammad Sanusi dilihat memberikan ucapan sebelum menyertai perlawanan bola sepak persahabatan bersama pasukan yang dibarisi penduduk tempatan yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Dalam ucapannya, beliau yang merupakan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri turut memaklumkan bahawa undi yang akan dilaksanakan pada 12 Ogos ini adalah pilihan pengundi berdasarkan keyakinan dan kefahaman secara rela hati kepada mana-mana parti yang dirasakan mampu mentadbir negeri Kedah.

Iklan

"Kedua-dua pihak telah membuktikan prestasi masing-masing waktu mereka jadi kerajaan dan waktu kita jadi kerajaan juga telah menunjukkan prestasi masing-masing.

"Tempoh berkempen adalah untuk bertemu mata, beramah mesra, saling kenal-mengenal dan bukan lagi tempoh meracuni pemikiran sesiapa, apatah lagi cubaan menimbulkan keraguan dan kebimbangan penduduk," katanya.

Iklan

Menurut Muhammad Sanusi, tidak sepatutnya tempoh berkempen selama 12 hari digunakan untuk menunjukkan kebencian terhadap mana-mana pihak.

Muhammad Sanusi ketika menyertai perlawanan bola sepak di Padang Awam Felda Teloi Timur, Sik pada Isnin.

"Dalam tempoh tiga tahun, kita ada masa yang panjang atau lima tahun sepenggal ini kita ada masa yang cukup untuk mengambil apa-apa tindakan yang penting termasuk kebajikan rakyat, keselamatan negeri, kemajuan, pembangunan, keselesaan dan (semua itu) dapat diterjemah dalam tempoh lima tahun kita jadi kerajaan," katanya.

Selepas memberikan ucapan, Muhammad Sanusi yang memakai jersi nombor lapan terus turun ke padang untuk menyertai pasukannya bermain di posisi penyerang.

Baddrol turut hadir beramah mesra dengan penyokong PN di Padang Awam Felda Teloi Timur Sik pada Isnin.

Sebelum itu, bekas kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang juga merupakan calon PN bagi kerusi DUN Gurun hadir dan meluangkan masa kira-kira 15 minit beramah mesra dengan penyokong di atas padang sebelum kedatangan Muhammad Sanusi.

Baddrol turut melakukan sepak penalti sebelum pulang pada jam 6 petang untuk berkempen di kawasannya.

Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhammad Khizri Abu Kassim.