Perhimpunan Sabtu lalu untuk agama atau parti politik?

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan perhimpunan umat Islam di ibu negara Sabtu lalu bertujuan mempertahankan kedaulatan Islam dan Perlembagaan atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu.

"Saya mengalu-alukan perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan. Saya sokong penuh tujuan-tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tetapi saya tertanya-tanya sama ada benar tujuan mendaulat Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu,” kata Perdana Menteri dalam blog beliau chedet.cc yang bertajuk ‘Mendaulatkan Islam’, malam ini.

Beliau berkata, majlis itu dilaporkan media sebagai perhimpunan untuk memperingati kerajaan akan kedudukan agama Islam tetapi yang memimpin dan berucap ialah pemimpin parti politik UMNO dan Pas.

Iklan

"Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam. Bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Pas sejak awal lagi mendakwa orang parti UMNO adalah kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir dan"dakwaan ini masih tidak dibatalkan.”"Bahkan Amanat Hadi yang mendakwa kerajaan UMNO adalah kafir dan kematian pejuang melawan kerajaan UMNO, jika meninggal adalah syahid,” dan dakwaan Pas dan Amanat Hadi ini memecah belah orang Melayu buat kali pertama,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, orang Melayu semuanya beragama Islam dan termasuk golongan Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) pimpinan Imam Shafie.

"Tidak ada kelainan pendapat atau fahaman mereka berkenaan agama Islam sejak dahulu kala lagi. Mereka berpecah dengan mendalam dan teruk hanya apabila Pas ditubuh dan mendakwa orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir,” katanya.

Beliau berkata, begitulah taksubnya orang Pas terhadap dakwaan ini sehingga ada yang anggap ibu bapa mereka yang menyertai UMNO sebagai kafir, dan mendakwa perkahwinan orang UMNO tidak sah dan perlu dikahwin semula, malah sembelihan orang UMNO haram dan tidak boleh dimakan oleh orang Pas dan bermacam lagi.

Dr Mahathir berkata sehingga sekarang Pas tidak pernah batalkan dakwaan UMNO kafir dan Amanat Hadi."Bagi Pas, orang yang tidak sertai Pas adalah kafir. Mengikut Pas hanya ahli Pas sahaja Islam. Sudah tentu orang Islam yang mencari suaka di negara bukan Islam sudah jadi kafir,” katanya.

Beliau turut bertanya"bagaimanakah Pas bersama UMNO berhak dakwa perhimpunan mereka menggambar solidariti orang Islam untuk kedaulatan Islam.”

"Ada pula orang yang berjawatan, yang membisu seribu bahasa berkenaan dakwaan Pas dan Amanat Hadi. Apakah mereka terima kesahihan dakwaan Pas dan Amanat Hadi,” katanya.

Beliau berkata, ada orang Islam yang kononnya ingin mengamal ajaran Islam, tetapi tumpuan mereka adalah kepada perkara yang kecil yang mempunyai unsur politik dan"sebaliknya larangan keras agama Islam tidak mendapat teguran dari mereka.”

"Sekarang kita sudah dapati orang Islam Malaysia yang menyertai peperangan sesama orang Islam. Mereka sanggup membunuh orang Islam, sesuatu yang dilarang oleh agama Islam. Tidak ada gerakan oleh orang Islam yang ingin mendaulatkan Islam ini yang berhujah berkenaan dosanya membunuh, terutama membunuh orang Islam,” katanya. Beliau berkata orang Islam adalah bersaudara, tetapi ini telah"dihapuskan dengan penubuhan Pas yang memperalatkan Islam secara salah untuk hancurkan persaudaraan antara orang Melayu Islam yang wujud sebelum Pas ditubuh.”

"Yang lebih buruk lagi ialah melaungkan nama Allah semasa himpunan untuk memperkuatkan politik pecah belah oleh parti. Nama Allah diguna untuk menghalalkan penolakan ajaran Islam bahawa mengkafir orang Islam tanpa sebab yang nyata. Membuat dosa dengan melaku amalan yang dilarang oleh agama tidak sepatutnya disusuli dengan menyebut nama ALLAH,” katanya..

Dr Mahathir berkata Islam melarang mencuri, tetapi Pas berunding dan bekerjasama dengan pemerintahan sebelum ini yang terkenal dalam dunia sebagai pemerintahan pencuri.

"Sekarang Pas terus berganding bahu dengan orang yang ditolak oleh masyarakat kerana mencuri,” katanya.

Dr Mahathir berkata ramai orang Melayu kerap menuduh kerajaan ini tidak mendaulatkan Islam, sebaliknya rombongan demi rombongan orang Islam yang datang dari negara-negara Islam lain mendakwa Malaysia adalah contoh negara Islam, dan memandang tinggi kepada Malaysia sebagai negara Islam. Mereka nyatakan keinginan melihat negara mereka menjadi seperti Malaysia,” malah mengatakan penduduk negara mereka yang seratus peratus Islam tidak dapat mentadbir dan menstabilkan negara mereka, jauh sekali dari membangunkan negara mereka,” katanya.

Beliau berkata, negara yang rakyatnya seratus peratus Islam ini kerap kali bermusuh sesama mereka, membunuh dan berperang hingga huru hara, dan terpaksa berhijrah ke negara bukan Islam.

"Kelainan suku kaum, kelainan fahaman ajaran Islam, kelainan politik, kelainan pemimpin menghalang keamamanan. Kerap kali mereka terpaksa akur dengan kehendak kuasa besar yang bukan Islam. Ada juga yang dipengaruhi oleh Yahudi, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya

Beliau berkata orang Islam di negara-negara ini sering kagum dengan Islam di Malaysia, malah tidak mendakwa bahawa Islam tidak didaulat di Malaysia, dan yang menuduh hanya orang Islam di Malaysia sahaja.

"Sesungguhnya tuduhan yang dilempar terhadap kerajaan bukan kerana tidak mendaulat Islam, tetapi semata-mata kerana politik. Dalam usaha ini agama Islam yang suci menjadi buruk kerana kepentingan bukan agama.

"Sekali lagi saya ingin bertanya kepada Haji Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Pas sama ada mereka masih nafikan Islam saya dan orang yang bukan menjadi ahli atau penyokong Pas,” katanya. - Bernama