Keselamatan Sanusi dan calon lain terjamin - KPN

Iklan
Razarudin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, keselamatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan calon lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini adalah terjamin.

Beliau berkata, ini kerana Sanusi mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pemimpin itu.

Iklan
Iklan

Razarudin berkata, justeru keselamatan calon yang bertanding bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu sepanjang kempen pilihan raya ini adalah terjamin.

"Insya-ALLAH, kalau ada ancaman (kepada Sanusi), anggota ini akan memaklumkan kepada Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh).

Iklan

"Pada masa sama, sekiranya ada mana-mana calon berasa tidak selamat semasa berkempen sila buat laporan dan kami akan siasat,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan maklumat dan pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan, tiada sebarang ancaman terhadap calon yang bertanding pada PRN kali ini.

Iklan

Razarudin juga berkata, polis telah meletakkan anggota dan pegawai untuk bertugas di lapangan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang PRN di enam negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Muhammad Sanusi tidak hadir ke ceramah Mega Perikatan Nasional di Padang Awam Sungai Petani, Kedah malam tadi disebabkan isu keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, setakat ini, keseluruhan perjalanan kempen termasuk di Kedah berlangsung dengan tertib serta mengikut peraturan dan semua parti politik bebas menganjurkan ceramah.

"Setakat ini, tiada insiden di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu jadi bagaimana boleh timbul isu keselamatan di Kedah... kalau ada (isu keselamatan), sudah pasti pihak keselamatan akan memberi teguran dan nasihat.

"Kecuali satu dua kes vandalisme yang kebanyakannya kena pada papan iklan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi dalam konteks Kedah, kita menjadi saksi betapa tenangnya perjalanan kempen di sini,” katanya selepas menyantuni peniaga dan masyarakat di Pasar Billion, Alor Setar pada Isnin. - Bernama.