TANAH MERAH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kefahaman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkait Perlembagaan negara apabila mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Persekutuan akan berubah jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di kesemua enam negeri pada Sabtu ini.
Beliau berkata, penubuhan kerajaan pusat itu tertakluk kepada Perlembagaan yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada ahli-ahli Parlimen.
"Kamu faham ke Perlembagaan Malaysia, yang menentukannya ialah ahli Parlimen.
"Dua pertiga ahli Parlimen ini menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Kelantan di Batang Merbau, di sini pada Isnin.
Ujar Anwar, sokongan terhadap kerajaan itu turut diperolehi daripada parti Sabah dan Sarawak yang menyatakan tetap bersama kepimpinan beliau untuk kekal mentadbir negara selepas PRN.
"Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Premier Sarawak) dan Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) memberitahu pada PRN ini mereka tetap dengan Kerajaan Perpaduan, apa-apa pun berlaku.
"Tapi salahkah Pas nak meroyan? Tak salah,” kata beliau.
Sebelum itu, Abdul Hadi mendakwa akan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat sekiranya PN memenangi kesemua enam negeri pada PRN nanti.