SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan gred E kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana disifatkan gagal untuk mentadbir dan menguruskan negara.
Menurut beliau, sebuah kerajaan yang berwibawa harus mewujudkan dan melaksanakan pelbagai dasar yang komprehensif dan polisi ekonomi yang kompetitif.
"Secara keseluruhanya menilai dan meneliti tahap prestasi serta pencapaian kerajaan PH selama setahun mentadbir dan menguruskan negara, bolehlah untuk saya memberikan tanda aras E sebagai gred pengukuran bahawa kerajaan PH adalah gagal," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebooknya yang bertajuk"Kerajaan PH-Setahun yang Gagal” hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, selepas setahun PH mentadbir negara, nilai mata wang negara menjadi semakin tidak menentu berbanding dengan nilai mata wang Amerika Syarikat termasuk mata wang di rantau Asia Tenggara.
"Situasi ekonomi yang semakin teruk dengan indeks saham terus merosot dan pelabur asing pula berterusan menarik dana keluar dari Malaysia menunjukkan kepada kita bahawa kerajaan PH pada hari ini telah gagal dan tidak berupaya mengurus ekonomi negara dengan baik.
"Dalam laporan Bloomberg juga telah menunjukkan betapa Bursa Saham negara telah dinaikkan kedudukan dari ‘sole loser” di Asia menjadi bursa paling teruk dalam dunia untuk tahun 2019," ujar Ahmad Zahid.
Ujarnya, Jabatan Perangkaan Negara pula telah mengeluarkan Indeks Pelopor (IP) untuk bulan Februari 2019 dan ia jelas menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara terus lembap untuk bulan-bulan yang mendatang.
"Malah dalam tempoh 9 dari jumlah 10 bulan yang dibuat pemantauan, indeks ini terus mengalami penyusutan selepas dari waktu PH mengambil alih kerajaan.
"Senario ini dilihat semakin parah apabila kerajaan PH terus mengambil jalan mudah dengan menjual aset milik Khazanah Nasional antaranya IHH Bhd, sejumlah saham Bank CIMB dan BDO Unibank (Filipina) dan sejumlah saham TNB," jelasnya.
Sehubungan itu, ujar beliau, semua tindakan yang dilakukan oleh kerajaan menjadi persoalan yang tidak terjawab daripada sudut tujuan serta keperluannya.
"Sekiranya benar kerajaan PH berhasrat untuk meringankan segala beban rakyat, maka mereka perlu berusaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing bagi membaik pulih ekonomi negara dan melaksanakan plan strategik untuk mengurus serta mengawal kenaikan kos sara hidup," katanya.