Muhyiddin dicabar dedah lokasi menantu, bantu siasatan SPRM

Iklan
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil merangkap Ketua Penerangan Keadilan berucap pada Majlis Ceramah Perdana Arus Merah Kuning N. 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Meru pada Isnin. - Foto Bernama

KLANG - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan kepada rakyat berhubung siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran pekerja asing bagi sebuah kementerian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melibatkan menantunya.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak harus berdiam diri sebaliknya perlu segera memberi penjelasan berhubung kes berkenaan dan memberitahu SPRM di mana kedudukan atau lokasi menantunya itu ketika ini.

Iklan
Iklan

"Tan Sri Muhyiddin kena jawab isu ini...beliau kena jawab dan saya cabar Tan Sri bantu SPRM cari menantunya untuk bantu siasatan," katanya ketika Ceramah Arus Merah Kuning sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Meru dekat sini malam ini.

Dilaporkan, SPRM sedang mengesan dua individu iaitu Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Iklan

Menurut SPRM, semakan rekod oleh suruhanjaya itu juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lepas, dan setakat ini tiada rekod kedua-duanya telah kembali ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan membolehkan lebih banyak isu dan masalah rakyat dapat diselesaikan.

"Dalam konteks telekomunikasi misalnya, jika ada masalah, saya boleh terus bertindak mengatasinya dengan kerjasama pemain industri...landasan yang sama ini pastinya akan memberi lebih manfaat kepada rakyat," katanya.

Iklan

Pengundian bagi PRN Selangor akan berlangsung serentak dengan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini manakala esok adalah pengundian awal. - Bernama.