Spekulasi calon Presiden BAM hangat

Iklan
Tengku Mahaleel (tengah) bersama-sama Norza (kiri) dan Al Amin ketika menghadiri Mesyuarat Majlis BAM pada 8 April 2017.

PELETAKAN jawatan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penghujung tahun ini mengundang pelbagai spekulasi.

Beberapa nama calon telah dikaitkan selepas Norza mengumumkan keputusannya itu dalam satu sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara minggu lalu.

Iklan
Iklan

Bagi salah seorang Panel Penasihat BAM, Roslin Hashim, beliau berharap badan induk badminton negara itu seharusnya dipimpin oleh individu yang memiliki pengalaman dalam sukan tersebut.

Malah, Roslin secara terbuka menamakan Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri yang juga Penasihat Teknikal BAM, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai antara individu yang layak memimpin persatuan berkenaan.

Iklan

"Saya melihat, beliau (Jalani) bagus daripada sudut pengurusan dan pentadbiran dalam persatuan. Beliau juga kenal dan biasa berurusan dengan orang atasan (pemegang taruh BAM).

"Ada yang menyebut (Datuk) Misbun (Sidek) juga layak, tetapi beliau lebih berminat dalam bidang kejurulatihan... beliau suka mengajar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Norza membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan akan melepaskan jawatannya itu pada hujung tahun ini.

Keputusan itu menyaksikan Norza bakal mengosongkan kerusinya lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.

Dalam hierarki BAM ketika ini, Norza dibantu Datuk V Subramaniam sebagai Timbalan Presiden 1 dan Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos (Timbalan Presiden 2).

Dalam pada itu, Roslin juga tidak menolak kemungkinan bekas Penasihat BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid antara calon yang sesuai untuk kembali ke pangkuan BAM.

"Beliau (Al Amin) juga seorang yang berpengalaman dalam badminton. Saya percaya beliau juga antara calon terbaik untuk menjadi Presiden BAM,” ujarnya.

Pada April 2017, Norza secara rasmi menyandang jawatan Presiden BAM bagi penggal 2017/2021 selepas dipilih sebulat suara oleh ahli majlis badan induk itu.

Norza menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, menyaksikan BAM masih mengekalkan tradisi 32 tahun untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi itu.

Terdahulu Al Amin memberi laluan kepada Norza untuk menggalas tugas sebagai presiden berdasarkan keputusan yang dicapai kedua-dua pemimpin itu dan mendapat persetujuan Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor dari ahli majlis bagi menyelesaikan kemelut yang melanda bagi pemilihan jawatan nombor satu BAM

Pada 10 April 2021, beliau terus diberikan kepercayaan menerajui BAM bagi penggal 2021/2025 apabila sekali lagi dipilih oleh 15 ahli gabungan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Hamidin tak minat jadi Presiden BAM

Norza buat kejutan, letak jawatan Presiden BAM hujung tahun ini