Selangor waspada sentuhan Bacina

Iklan
Selangor FC mencari kemenangan dalam aksi derby Lembah Klang.

SELANGOR FC berwaspada apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City yang mendapat sentuhan pengendali baharu, Nenad Bacina yang dilantik membimbing pasukan ibu kota itu.

Pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berkata, beliau menjangkakan aksi berbeza bakal dipamerkan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Dalam situasi Kuala Lumpur terutama apabila mendapat jurulatih baharu, saya jangka pemain mereka lebih yakin untuk menentang kita.

"Kita pula seperti biasa akan melakukan persiapan terbaik kerana derby lembah Klang ini kita tahu amat sukar," katanya.

Iklan

Bacina dilantik oleh KL City sebagai pengendali baharu pasukan menggantikan Bojan Hodak yang kini mengendalikan kelab Indonesia, Persib Bandung.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu bukanlah nama asing buat KL City apabila pernah menjadi pembantu Bojan di kelab itu pada musim 2021-2022.

Iklan

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengakui Selangor tidak boleh kehilangan mata dalam baki saingan liga sekiranya mahu menamatkan musim dalam kelompok pasukan teratas.

"Sudah tentu kita mahu mencari keputusan positif dalam setiap perlawanan.

"Tetapi kita juga sedar cabaran yang perlu kita hadapi terutama apabila pasukan lain ada yang mendapat pemain berkualiti pada jendela perpindahan ini yang sekali gus menguatkan pasukan," katanya.