BANGKOK - Seorang wanita nyaris termakan mata kail selepas ia menemuinya dalam menu masakan ikan keli yang dipesan dari sebuah restoran di daerah Pak Kret, Nonthaburi, lapor Thaiger
Wanita dikenali sebagai Jun, 31, melaporkan pada 27 Julai lalu dia dan rakannya memesan menu tersebut menerusi perkhidmatan penghantaran makanan di sebuah restoran yang tidak jauh dari kediamannya.
Katanya, pesanan itu termasuk dua ketul ikan keli masak pedas, nasi kosong dan nasi berlauk kambing.
Tambahnya, ketika mereka sedang menikmati makanan tengah hari itu, tiba-tiba dia menemui mata kail beserta tali pancing dalam potongan isi ikan tersebut.
"Masakan ikan keli ini adalah menu kegemaran saya, namun apabila saya menemui mata kail ini, ia sekali gus mencetuskan persoalan bagaimana restoran ini mengabaikan piawaian keselamatan dan kebersihan masakan mereka," katanya,
Selepas penemuan itu, June menghubungi restoran itu dan menceritakan penemuan pelik itu dan mereka menegaskan pekerjanya telah membersihkan ikan itu dengan teliti.
Katanya, pihak restoran menawarkan menu sama sebagai ganti rugi, namun June menyatakan dia menjadi trauma dan hanya meminta pemulangan semula wang tersebut.
Sanook melaporkan, restoran itu memulangkan semula wang kira-kira 120 baht (RM15) seperti diminta June dan menggesa semua di restoran supaya berhati-hati menghidangkan makanan berasaskan ikan kerana bimbang kejadian sama mungkin berlaku kepada pelanggan lain. - Agensi