KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan potongan premium tanah sehingga 70 peratus untuk rakyat Kelantan jika Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BH) menang pada pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.
Sebelum ini, potongan premium tanah itu ditawarkan sebanyak 50 peratus dalam manifesto PH-BH Kelantan.
Ahmad Zahid berkata, beliau ada beritahu wakil rakyat yang mewakili BN dan PH supaya cukai itu bukan sahaja turun sebanyak 50 peratus tetapi 70 peratus.
"Insya-ALLAH potongan akan diberikan sebanyak 50 peratus jika Kerajaan Perpaduan diberi mandat di Kelantan.
"Begitu juga cukai pintu, cukai tanah yang akan diturunkan sebanyak 50 peratus. Kalau boleh potongan diberikan sebanyak 70 peratus untuk buat rumah, cukai pintu dan cukai tanah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Jalan Kebun Sultan pada Isnin.
Ceramah turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, pembinaan rumah baharu di Kelantan dikenakan bayaran RM9,000 bagi satu lot.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, bayaran premium tanah juga mahal di Kelantan.
"Potongan ini akan memberi faedah untuk rakyat Kelantan untuk membuat rumah dan memiliki tanah.
"Biar kita tidak dapat pendapatan dari cukai tanah ini tetapi jika pelaburan banyak masuk di Kelantan, kita akan dapat cukai daripada industri," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, 34 tawaran dikemukakan BN-PH di bawah empat teras sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan pada PRN ini.
Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.
Tawaran lain ialah inisiatif menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50 peratus dan parkir percuma.