Bergaduh angkara bunyi bising motosikal

Iklan
Kejadian perselisihan faham antara dua kumpulan berlaku di Kampung Sangkir, Kota Belud.

KOTA BELUD - Membuat bunyi bising dipercayai punca berlakunya perselisihan faham antara sekumpulan individu bermotosikal dan penduduk kampung sehingga tular di media sosial dalam kejadian di Kampung Sangkir di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara dua kumpulan di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud telah menghantar kereta peronda MPV ke lokasi dan mendapati perselisihan faham telahpun dileraikan.

"Siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal dipercayai telah membuat bunyi bising dan menyebabkan perselisihan faham dengan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membuat laporan di Balai Polis Kota Belud.

"Pihak polis memandang serius kejadian ini dan akan membuat pemantauan berterusan di lokasi tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Iklan

Sehubungan itu, Shahrudin berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat setempat.

"Ia juga dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang masih dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Sebelum itu, tular di laman Facebook video berdurasi 37 saat berhubung kejadian pergaduhan di kawasan Kampung Sangkir dan menyebabkan laluan jalan raya sesak disebabkan insiden tersebut.