SHAH ALAM - Sebarang dakwaan berkaitan isu keselamatan sepanjang berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) perlu dilaporkan kepada polis bagi tindakan lanjut diambil dengan segera.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, istilah digunakan dakwaan berkaitan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diperangkap mungkin sebenarnya bermaksud terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
"Biasalah kalau hendak pergi syarahan di kempen ini, pastinya akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, mungkin itu yang dimaksudkan.
"Perkara berkaitan isu keselamatan ini sudah diulas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa ia adalah terjamin dibawah kawalan pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal pilihan raya negeri(PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Katanya, polis sama sekali tidak berkompromi berkaitan soal keselamatan sepanjang PRN ini.
"Ini bukan soal Sanusi sahaja atau sesiapa, ini melibatkan semua calon yang bertanding, sekiranya ada atau wujud soal ancaman keselamatan, lapor terus kepada pihak polis.
"Jangan sekadar mendakwa sahaja tapi tiada sebarang laporan yang dibuat, yang mana ada elemen tersebut termasuk kalau ada yang nak buat kacau bilau sebagainya kita akan ambil tindakan, itu pasti," katanya.
Menurutnya, semua pihak diingatkan agar sentiasa menjaga keharmonian dan mematuhi peraturan sepanjang PRN ini.
"Kita semua sudah matang dan jauh sekali untuk melakukan tindakan menyalahi undang-undang, namun ada segelintir yang tidak bertindak sedemikian, tidak matang ketika berucap atau berkempen.
"Jadi saya nasihatkan, jadilah orang yang matang," katanya.
Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya bagi tujuan memastikan keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terjamin.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional bersama MB Kedah di Taman Ria, di sini.
Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan.
"Pagi tadi Menteri Besar (MB) mesyuarat di Kuala Lumpur yang membincangkan perkara besar dan daripada itu dinasihatkan beliau untuk tidak meneruskan ceramah pada malam ini kerana ada 'perangkap' yang dipasang oleh musuh.
"Perangkap itu mengkehendaki MB kita masuk ke dalam itu, dia pegang dan buat sesuatu yang tidak dijangka, waktu ini kita kena sedia dengan segala kemungkinan, saya dah sebut dah, dalam tempoh sehari dua ini kemungkinan akan berlaku sesuatu yang dahsyat," dakwanya.
Bagaimanapun, pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan berkaitan keselamatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan calon lain yang bertanding dalam PRN ini.
Jelas beliau, ini kerana Muhammad Sanusi mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pemimpin itu.
Razarudin berkata, justeru keselamatan calon yang bertanding bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu sepanjang kempen pilihan raya ini adalah terjamin.