Tiada laporan 3R diterima sepanjang PRN - Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan (tengah) dan Abdul Ghani (kanan) ketika hadir membuat tinjauan bagi proses undi awal di Dewan D'Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu raja, agama dan kaum (3R) sepanjang tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkembangan tersebut merupakan satu petanda baik bagi memastikan PRN di seluruh negara berlangsung dengan aman.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, situasi baik yang dicapai itu ekoran amaran keras yang telah diberikan PDRM sebelum ini, selain titah daripada institusi diraja yang tidak mahu isu 3R dimainkan semasa berkempen.

"Alhamdulillah, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu 3R sepanjang kempen PRN kali ini.

Iklan

"PDRM amat berharap perkembangan baik ini dapat diteruskan sehingga habis hari pengundian dan sehingga hari-hari seterusnya selepas pilihan raya.

"Dalam masa yang sama, PDRM ingin memberi amaran kepada semua pihak agar tidak melakukan sebarang eksploitasi dan provokasi semasa berkempen," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Timbalannya, Datuk Sasikaladevi.

Mengulas proses pengundian awal anggota PDRM di Selangor, Ayob berkata, seramai 18,557 anggota dan pegawai bersama pasangan masing-masing layak mengundi.

Kata beliau, seramai 8,000 anggota tentera layak mengundi di 68 pusat mengundi di Selangor, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anggota keselamatan mengundi sebanyak 26,557 orang.

"Peratusan anggota keselamatan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah sebanyak 97 peratus.

"Oleh itu, saya yakin jumlah peratusan keluar mengundi pada PRN ini boleh mencapai atau melebihi jumlah yang dicatatkan pada PRU lalu.

"Ini kerana keluar mengundi adalah satu kewajipan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk anggota keselamatan, malah arahan telah diberikan supaya semua anggota serta pegawai keluar mengundi," katanya.

Tambahnya lagi, kekuatan keseluruhan anggota PDRM yang bertugas di Selangor menjelang hari pengundian sebanyak 13,859 orang.

Sementara itu, Ayob berkata, PDRM menerima 518 laporan polis sepanjang PRN negeri Selangor sehingga Ahad.

Daripada jumlah tersebut, menurut beliau, sebanyak 20 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM.