BESUT - Semua jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini diingatkan supaya terus istiqamah bekerja untuk parti dengan tidak melayani sebarang provokasi yang cuba dicetuskan pihak tertentu.
Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, peringatan ini penting memandangkan minggu terakhir kempen ini masing-masing berdepan dengan pelbagai cabaran tersendiri termasuklah kekurangan rehat dan sebagainya.
"Kalau ada sebarang provokasi, cuba elak kerana fokus kita ketika ini untuk menang pilihan raya negeri (PRN).
"Jangan pula kita melawan provokasi (dilakukan pihak tertentu) dengan bertindak agresif kerana pada akhirnya kita akan rugi sedangkan (kerja keras) sudah berada hampir di garisan penamat.
"Saat-saat akhir ini kita faham jentera berdepan dengan stres, tidak cukup rehat. Jadi, apabila ada yang cuba timbulkan provokasi ia akan memberi kesan emosi dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas meninjau proses mengundi awal bagi PRN Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini pada Selasa.
Sementara itu, Muhammad Pahemi yang juga calon BN di Kota Putera berkata, sokongan yang diberikan pengundi di kawasan itu kepadanya sangat positif.
Justeru, beliau yakin hasrat untuk BN merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang Pas ketika ini tidak mustahil dicapai.
Namun katanya, perkara tersebut tidak akan berlaku tanpa adanya sokongan padu daripada jentera parti.
DUN Kota Putera menyaksikan persaingan dua penjuru antara Muhammad Pahemi dan calon Pas, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.