PARIT BUNTAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 setiap metrik tan bermula esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 setiap tan sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.
Menurut beliau, kenaikan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan jumlah peruntukan SSHP mencecah RM1 bilion setahun.
"Semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an, itulah pertama kali saya naikkan harga padi. Kemudian ia tidak naik lagi kerana kalau naik, kerajaan perlu tampung belanja.
"Kadar subsidi RM360 per metrik tan naik mulai esok kepada RM500. Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Kita tidak mahu kata umum hari ini laksana tahun depan tetapi kita umum hari ini esok naik harga padi seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Chan Foong Hin serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, kerajaan juga akan menyemak mekanisme penggredan padi dengan menempatkan pegawai pertanian di kilang-kilang.
"Kita menerima aduan masalah mutu beras basah oleh pengilang. Bagaimana hendak kawal apabila kadang betul, kadang tidak betul, kadang potong 5 peratus jadi 10 peratus.
"Saya sudah bincang dengan kementerian, kita mesti latih pegawai pertanian khusus, dia akan ada di kilang swasta dan Bernas untuk pantau supaya pengilang tidak potong beras basah ikut selera mereka, dia kena ada syarat," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kementerian bercadang akan menambah peruntukan bagi pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai satu inisiatif meningkatkan pengeluaran beras negara.
"Walaupun unjuran awal RM3 bilion tidak cukup kita terpaksa tambah, kerajaan akan lakukan sebaiknya.
"Bagaimana saya boleh umum hari ini kerana pegawai kita bertungkus lumus bekerja, merancang dan beri pandangan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Kementerian Ekonomi," katanya.