AMPANG - Seorang lelaki warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang videonya tular berhubung kes cabul kehormatan seorang wanita pengutip kotak minggu lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Tukang sapu, Mohammad Jubair Musi Ullah, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di hadapan sebuah kedai di Taman Muda dekat sini pada jam 3.30 petang, 2 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badannya di tandas Pejabat Narkotik Ampang Jaya, Hulu Langat, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.
Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan perbuatan jijik seorang lelaki warga asing mencabul wanita warga emas di Taman Muda, di sini mengundang padah apabila diberkas polis pada Rabu minggu lalu.
Beberapa individu yang menyaksikan kejadian tersebut, bertindak membuat rakaman sambil melarang suspek daripada melakukan jenayah itu, sebelum video terbabit tular di media sosial.