Undi terakhir sebagai anggota selepas 40 tahun dalam PDRM

Iklan
Mat Ali menunjukkan calitan dakwat kekal pada jarinya selepas selesai membuang undi di IPK Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis pertama membuang undi di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Terengganu di sini menyifatkan proses pengundian kali ini adalah yang terakhir selepas 40 tahun berkhidmat.

Sub Inspektor Mat Ali Mat Daling, 59, berkata, beliau telah mengundi di saluran satu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sekitar jam 8 pagi pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Saya telah berkhidmat selamat 40 tahun dan akan bersara tahun depan. Hari ini adalah hari terakhir saya mengundi sebagai anggota polis dalam pilihan raya.

"Selepas ini sudah pasti saya akan merindui saat-saat ini dan pengalaman mengundi awal sebagai anggota polis," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Iklan

Mat Ali yang bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Terengganu mula berkhidmat sebagai anggota polis sejak 1986 bermula di Pahang.

Bapa kepada lima cahaya mata itu menunaikan tanggungjawab mengundi ketika berusia 18 tahun pada 1980.

Iklan

Menurutnya, proses pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) kali ini adalah yang paling aman di Terengganu sepanjang beliau berkhidmat sebagai anggota keselamatan.

"Saya sebenarnya agak terkejut kerana melihat perjalanan proses pilihan raya kali ini berjalan dengan begitu lancar dan aman.

"Sejak proses penamaan calon sehingga tempoh kempen suasana tenang. Segalanya berjalan lancar dan dalam keadaan yang aman serta tenteram tanpa provokasi melampau,"katanya.

Jelas beliau, banyak perubahan terhadap suasana pilihan raya kali ini malah penyokong dan pengundi juga dilihat semakin matang.

"Tiada begitu banyak provokasi dan kes-kes berat seperti yang berlaku ketika saya bertugas pada 1990 an dulu. Ketika itu keadaan agak luar biasa dengan suasana ekstrem, berlaku kes bakar bendera dan pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan serius.

" Itu semua antara pengalaman-pengalaman teruk yang saya pernah lalui sepanjang bertugas sebelum ini," katanya yang akan bersara pada 8 Januari depan.

Pusat pengundian awal di IPK Terengganu dibuka jam 8 pagi namun sewal jam 6.45 pagi sudah ada anggota polis, tentera dan pasangan menunggu pusat mengundi dibuka untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pemilih.

Seramai 6,957 pengundi awal di seluruh Terengganu melibatkan 1,884 anggota tentera, 4,395 anggota polis dan 678 orang awam yang dijadualkan mengundi awal pada Selasa.