Kajian 50 peratus pengundi UMNO akan undi PN palsu - Ilham Centre

Iklan
Hisommudin dan tangkap layar yang tular di media sosial kononnya hasil kajian Ilham Centre yang menyebut hanya enam peratus memilih BN di Selangor.

SHAH ALAM - Firma kajian politik, Ilham Centre menafikan ada mengeluarkan dapatan kajian yang menjangkakan 50 peratus pengundi UMNO akan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pengarah eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, tangkap layar yang disebarkan di media sosial kononnya hasil kajian daripada pihaknya itu turut menyebut hanya enam peratus memilih Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, Ilham Centre belum mengeluarkan sebarang dapatan kajian dan sebarang tangkap layar yang tular adalah palsu.

"Pengundi terutamanya warga emas perlu diberi kesedaran mengenai situasi ini bagi mengelakkan fikiran mereka diracuni dengan maklumat yang salah.

Iklan

"Tindakan awal perlu diambil dengan kadar segera agar orang ramai tidak terdedah dengan maklumat yang sarat dengan elemen sampah dan palsu seperti ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tegas beliau, tindakan penyebaran dapatan kajian palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab itu bakal menjejaskan tahap kebolehpercayaan orang ramai terhadap Ilham Centre.

Iklan

Jelas Hisommudin, motif sebenar tindakan tersebut tidak dapat dikenal pasti tetapi ia secara jelas menyebabkan berlakunya krisis keyakinan terhadap pihak yang menjalankan kajian secara objektif akan terganggu.

"Sehingga kini tiada tindakan konkrit boleh dilakukan untuk membendung tindakan berkenaan selain daripada penafian daripada pihak kami.

"Situasi ini sering berlaku apabila menjelang pilihan raya, memang akan ada pihak yang mulakan penyebaran dapatan kajian palsu di media sosial tanpa diketahui tujuan utama mereka,” ujar beliau.

Tambahnya, tindakan seperti itu melibatkan etika di mana sebarang kenyataan perlu bersandarkan pengesahan daripada pihak yang sepatutnya bukan dengan tindakan memalsukan maklumat untuk meraih keuntungan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!