BESUT - Sebanyak 69 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) melibatkan semua parti bertanding di daerah ini dikeluarkan setakat Selasa.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, daripada jumlah itu, 39 permit melibatkan Barisan Nasional (BN), 30 kepada Pas, manakala Bebas tiada sebarang permohonan dibuat.
"Secara keseluruhan, perjalanan kempen di Besut ini berjalan lancar dan tiada laporan kekecohan dibuat.
"Cuma, ada sedikit tidak puas hati (dalam kalangan jentera parti bertanding) melibatkan pemasangan bendera tetapi ia dapat diselesaikan oleh pasukan pemantau kempen," katanya ketika ditemui selepas selesai undi awal di Balai Polis Jertih di sini pada Selasa.
Tambah Abdul Rozak, semua jentera parti juga diminta mengekalkan disiplin tinggi dengan tidak menimbulkan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kontroversi.
"Saya berharap dalam tempoh kempen yang berbaki empat ke lima hari ini semua parti kekalkan momentum berkempen dengan penuh keamanan.
"Selain itu, semua pihak juga perlu aku dengan segala peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.