PRK: Bekas Speaker DUN Johor disebut-sebut calon Amanah di Pulai

Iklan
Suhaizan

JOHOR BAHRU - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat disebut-sebut akan dicalonkan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September depan.

Suhaizan, 50 yang merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak asing bagi penduduk di Parlimen Pulai memandangkan beliau merupakan setiausaha politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Iklan
Iklan

Ketika ditemui, Suhaizan yang juga Ketua Amanah Kawasan Pulai berbesar hati dan bersedia menggalas amanah yang diberikan sekiranya dicalonkan untuk bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan di Parlimen Pulai.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pengalaman bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 2004 antaranya di Kempas, Kukup dan Simpang Renggam menjadi kekuatan untuknya agar tidak mudah berpatah semangat.

Iklan

"Sekiranya parti memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Pulai, saya akan melaksanakan tugas dengan baik bagi membalas kepercayaan yang diberikan.

"Dalam konteks sekarang ini, yang penting adalah untuk menjaga kestabilan Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui di Pejabat Amanah Johor, Kangkar Pulai di sini pada Selasa.

Iklan

Suhaizan turut menyifatkan Allahyarham Salahuddin sebagai pemimpin yang cakna dengan masalah masyarakat setempat khususnya penduduk di empat kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen Pulai.

"Setiap kali Allahyarham balik ke kawasan pada cuti hujung minggu, saya akan susun jadualnya dari pagi hingga malam. Program melibatkan antara tujuh hingga 10 aktiviti sehari.

"Meskipun padat termasuk dengan program di peringkat kementerian, beliau tetap ada masa untuk mendekati rakyat, saya tak pernah dengarnya mengeluh. Ketekunan Allahyarham ini menjadi contoh yang amat baik dalam mendekati rakyat," katanya.

Pada PRU yang lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi, menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 23,026 undi calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 14,432.

Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi) calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram pada 9 September - SPR

[VIDEO] Amanah Johor harap anak tempatan jadi calon PRK

Amanah Johor sedia pertahankan Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!