KUALA LUMPUR - Empat negeri merekodkan peratusan keluar mengundi lebih 80 peratus bagi undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setakat jam 1 tengah hari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Terengganu merekodkan peratusan tertinggi iaitu 85 peratus, diikuti Kelantan dan Negeri Sembilan, masing-masing dengan 83 peratus manakala Kedah dengan 81 peratus.
Pulau Pinang pula merekodkan 80 peratus; Selangor dengan 78 peratus manakala peratusan undi awal PRK Parlimen Kuala Terengganu direkodkan sebanyak 80 peratus.
Undi awal membabitkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.
Sementara, seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu.
Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi ini.
Turut dibuka tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak. - Bernama