IPP Malaysia untuk Jun menyusut 2.2 peratus - DOSM

Iklan
Pengeluaran dalam sektor perlombongan jatuh 6.4 peratus pada Jun 2023 - Gambar hiasan 123RF

INDEKS Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia menyusut 2.2 peratus pada Jun 2023 dari tahun ke tahun disebabkan penguncupan dalam sektor pembuatan dan perlombongan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kemerosotan pengeluaran pembuatan pada Jun 2023 telah dipengaruhi oleh penurunan sebanyak 3.9 peratus dalam industri berorientasikan eksport.

Iklan
Iklan

"Ia merupakan penguncupan kedua dalam industri berorientasikan eksport dalam tahun ini, berikutan penurunan awal pada April 2023. Kelemahan dalam industri berorientasikan eksport pada Jun 2023 adalah disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (10.8 peratus) serta pembuatan komputer, produk optik dan elektronik (4.0 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata, pengeluaran dalam sektor perlombongan jatuh 6.4 peratus pada Jun 2023, mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak Mei 2022.

Iklan

"Penurunan ini telah diseret oleh kemerosotan dalam gas asli serta minyak mentah dan kondensat, dengan masing-masing negatif 7.8 peratus (Mei 2023: 4.5 peratus) dan negatif 4.5 peratus (Mei 2023: 0.6 peratus).

Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, indeks perlombongan menguncup 7.7 peratus berbanding 7.6 peratus positif yang disaksikan semasa Mei 2023," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, output elektrik meningkat sederhana sebanyak 2.8 peratus pada Jun 2023, berikutan pertumbuhan 5.9 peratus pada bulan sebelumnya.

"Berbanding bulan sebelum ini, indeks elektrik adalah lemah sebanyak 5.3 peratus, berbeza dengan pertumbuhan positif 9.3 peratus yang dicatatkan pada Mei 2023," katanya.