KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia mengundi awal walaupun dalam keadaan terbatas pergerakan dan menggunakan tongkat di pusat pengundian Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Selasa.
Anggota Cawangan Pengangkutan IPK itu, Che Mustapa Che Ahmad, 60, berkata, dia menghidap angin ahmar dan lumpuh bahagian sebelah kiri badan sejak Jun tahun lalu.
Menurutnya, pengundian awal yang dijalani pada pilihan raya negeri (PRN) itu adalah kali kedua dilakukan dalam keadaan bertongkat selepas kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Saya lumpuh belah kiri badan sejak tahun 2022 dan menggunakan tongkat untuk bergerak.
"Saya akui sukar untuk bergerak tetapi tanggungjawab mengundi wajib dilaksanakan supaya negara mendapat pemimpin dan membentuk kerajaan untuk mentadbir,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Bapa tiga anak yang berasal dari Kampung Gaung Beta Hilir itu, sudah berkhidmat selama 40 tahun dalam pasukan polis dan akan berpencen pada 10 September ini.
Kata Che Mustapa, pihak majikannya itu bagaimanapun prihatin dan sentiasa membantu meringankan urusan selain menolong menyediakan kenderaan untuk ke pusat mengundi awal dari rumahnya.
"Mereka menjemput saya dan membawa ke tempat mengundi serta menghantar saya balik selepas selesai membuang undi.
"Saya sangat berterima kasih kepada Polis Kelantan yang mengambil berat keadaan kesihatan dan kebajikan saya,” ujarnya.