SHAH ALAM - Penilaian terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya diberikan selepas diberikan mandat untuk mentadbir negara dalam tempoh lima tahun, kata Tan Sri Rafidah Aziz.
Jelas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu, penilaian setahun yang diberikan terhadap PH hanyalah bersamaan dengan 20 peratus daripada tempoh yang diberikan untuk mentadbir Malaysia.
"Kad laporan PH hanya mencerminkan prestasi dalam masa satu tahun... bukan lima tahun penuh bagi tempoh mana-mana kerajaan. Kita mesti membenarkan tempoh penuh lima tahun, sebelum membuat sebarang penilaian dan keputusan mengenai kerajaan PH.
"InsyaALLAH, PH mampu memenuhi jangkaan rakyat, sebelum mereka sekali lagi memohon mandat dalam masa empat tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
"Saya berdoa Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir dan Kerajaan PH, dengan bimbingan ALLAH yang maha berkuasa akan membawa Malaysia kita kembali semula ke puncak kejayaan dan kecemerlangannya," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu ulasan yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini hari ini.
Menurut Rafidah, pada 9 Mei tahun lalu, seramai 12,299,514 orang pengundi keluar untuk menentukan kerajaan bagi tempoh lima tahun dan ia merupakan 82.32 peratus dari bilangan warga negara yang layak mengundi.
PH telah mendapat 5,685,252 undi dan mendapat mandat untuk menubuh kerajaan baharu untuk mentadbir Malaysia.
Bagaimanapun Rafidah berkata, PH sebenarnya mewarisi pentadbiran serta keadaan negara yang sangat mendukacitakan berpunca daripada kesilapan kerajaan terdahulu.
"Tiada siapa jua, yang sedar dan tahu akan keadaaan sebenarnya, akan menafikan bahawa kerosakan-kerosakan telah berlaku dalam beberapa aspek pentadbiran negara, hasil peninggalan kerajaan sebelumnya, dalam jangka masa lebih kurang satu dekad pentadbirannya.
"Skandal demi skandal seperti pecah amanah dan rasuah mula terbongkar dan sekarang sedang dibawa ke muka pengadilan," katanya yang pernah menerajui Wanita UMNO.
Jelas beliau, budaya birokrasi telah dicemar oleh nilai-nilai negatif yang mencerminkan hakisan nilai-nilai yang baik dan positif dan haluan kompas turut tergelincir dalam kalangan mereka yang telah mengabaikan tanggungjawab serta akauntabiliti.
"Pendek kata, PH mempunyai agenda-agenda selari atau 'parallel', yang perlu ditangani. Ada yang boleh diimplementasi dalam masa terdekat.
"Ada yang perlu siasatan mendalam, sementara ada dasar-dasar dan langkah-langkah baru, yang perlu dikaji secara mendalam dan terperinci sebelum dilaksanakan," ujar beliau.
Sehubungan itu Rafidah menegaskan, Kerajaan PH perlu memperkukuhkan ekonomi negara supaya pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh semua peringkat rakyat, terutama di peringkat pendapatan rendah.
"Semua ini memerlukan persekitaran yang mengalakkan. Perlu ada ketenteraman dan persefahaman dalam kalangan rakyat.
"Oleh itu marilah kita bersama-sama berazam, supaya kita sentiasa berusaha berfikir akan kepentingan negara dan rakyat serta kebaikan untuk generasi muda sekarang dan akan datang," katanya.