SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina menerusi program Sinar Karangkraf bersama komuniti.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan bagi meringankan beban bayi berusia enam bulan itu yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku, Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1.
"Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang memfokuskan perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan serta kerja amal kepada pihak yang memerlukan bantuan.
"Jumlah sumbangan adalah hasil persetujuan bersama ahli. Diharap masyarakat terutama sektor korporat tampil sama-sama menghulurkan bantuan membantu bayi ini,” katanya selepas menyerahkan cek sumbangan di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan kisah Sufi Syafrina Mohd Shafiq di Kampung Sungai Kantan, Kajang dekat sini yang memerlukan dana lebih RM9 juta untuk rawatan suntikan jenis Zolgensma.
Bapanya, Mohd Shafiq, 38, berharap anak bongsu daripada tiga beradik itu dapat mengambil suntikan tersebut secepat mungkin sebelum usia mencapai dua tahun untuk pulih sepenuhnya.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, Lam Thye merupakan tokoh kedua yang tampil menghulurkan sumbangan ke tabung berkenaan selepas Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan pada Isnin.
"Tabung ini akan terus dibuka sehingga mencapai jumlah maksimum dan semoga dengan sumbangan yang diperoleh dapat membantu meringankan beban keluarga Adik Sufi Syafrina,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, Sinar Harian akan memulakan kerjasama dengan Ikatan dalam melaksanakan CSR menerusi program komuniti.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276529068 - Tabung Bantuan Sufi Syafrina.