Isu REE, Marris: Gagal mohon maaf, Sanusi saman Saifuddin

Iklan
Muhammad Sanusi (kiri) dan Saifuddin (kanan).

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memfailkan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas Menteri Dalam Negeri itu gagal memohon maaf dan membayar pampasan kepadanya kerana didakwa memfitnahnya dalam dua program di Kedah dan Pulau Pinang.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan pada 3 Ogos menerusi firma guaman, Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Iklan
Iklan

Menurut penyataan tuntutan tersebut, Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

"Kenyataan tersebut disiarkan di media sosial dan liputan media, namun Saifuddin enggan memenuhi tuntutan tersebut,” katanya di sini pada Selasa.

Iklan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mendakwa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah membuat kenyataan berunsur fitnah dalam dua majlis iaitu sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai, selain program Jelajah Perpaduan Madani & Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Yan, pada 15 Julai.

Sanusi dalam penyataan tuntutannya memaklumkan, tidak pernah menyalahgunakan atau menggunakan peruntukan Marris bagi tujuan selain daripada diperuntukkan bawah undang-undang.

Iklan

"Baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan masih dalam simpanan tetap kerajaan negeri seperti dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit Jabatan Audit Negara,” katanya.

Merujuk kepada isu REE yang mendakwa beliau dikenakan kompaun RM500,000 berhubung kecurian mineral itu, Sanusi menjelaskan, denda tersebut dikenakan kepada pihak ketiga yang menceroboh dan mencuri REE.

"Pihak ketiga itu sebelum ini dilantik oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk membangunkan kawasan ladang hutan itu.

"Kompaun tersebut dikeluarkan bukan atas dasar kesalahan plaintif (Muhammad Sanusi) mencuri REE tetapi kerana MBI merupakan pemegang permit ladang hutan," katanya.

Jelasnya, kompaun itu dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga melakukan pencerobohan serta mencuri REE di ladang hutan tersebut dan pihak ketiga itu telah menjelaskan kompaun.

"Tiada sebarang keterangan atau dokumen bertulis menyatakan kompaun tersebut ditujukan secara khusus kepada plaintif,” katanya.

Sanusi mendakwa, kenyataan berbaur fitnah tersebut secara tidak langsung menggambarkan beliau seorang pencuri dan terlibat dalam kegiatan kecurian hasil bumi bagi tujuan kepentingan peribadi dan wang ringgit.

Plaintif turut mendakwa, kenyataan-kenyataan yang dibuat Saifuddin (defendan) turut menggambarkan beliau sebagai seorang Menteri Besar yang tidak kompeten dan terlibat dalam isu tatakelola kewangan yang serius dalam pentadbiran negeri.

Jelas Sanusi, kenyataan tersebut jelas merujuk kepada dirinya dan menyebabkan imejnya sebagai ahli politik tercemar dan dipandang serong masyarakat, serta timbul tanggapan dirinya sanggup mempergunakan agama untuk kepentingan diri.

Beliau juga mendakwa mengalami tekanan emosi dan dikecam hebat warga maya melalui media-media sosial.

"Tindakan defendan yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya jelas sebahagian daripada bahan kempen beliau dan serangan politik memburuk-burukkan Perikatan Nasional (PN) supaya dapat memberikan kelebihan kepada kempen PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional) dan PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Kedah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sanusi selaku plaintif menuntut agar Saifuddin membuat permohonan maaf secara terbuka di media cetak dan elektronik dalam 14 hari dari tarikh penghakiman.

Plaintif turut memohon perintah agar defendan menarik balik semua video berkaitan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut.

Sanusi juga mohon satu perintah injuksi bagi menghalang Saifuddin atau mana-mana ejen beliau agar tidak lagi memuat naik, menyiarkan atau menerbitkan kenyataan atau video berkaitan isu Marris dan REE.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut memohon ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah dan akan diinfaqkan ke badan kebajikan dipilih plaintif.

Turut dimohon, faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi yang diputuskan sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi saman Saifuddin isu REE, MARRIS

Sanusi sedia saman Saifuddin

'Sanusi dah hantar surat saman, kita lawan di mahkamah' - Saifuddin

Saifuddin 'tunggu' saman Sanusi