Ayah sempat ajar anak mengucap

Iklan
Mayat Siti Nor Hanim Alya dibawa ke Hospital Tumpat selepas meninggal dunia di lokasi kejadian di Kampung Pasir Puteh, Tumpat.

TUMPAT -"Saya sempat ajar anak mengucap ketika dia nazak, dia sebut ALLAH..ALLAH...sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya," kata ayah kepada mangsa kemalangan melibatkan dua pelajar sekolah maut di KM12 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat Kampung Pasir Puteh di sini pagi tadi.

Hamid Sulong, 63, sempat bersama anaknya, Siti Nor Hanim Alya, 17, buat kali terakhir apabila mangsa yang menunggang motosikal terkorban dirempuh kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia mendapat tahu anaknya kemalangan selepas dihubungi saudara dan terus bergegas dari rumah di Kampung Nechang ke lokasi kejadian.

"ALLAH sahaja tahu perasaan saya melihat anak terbaring di dalam parit, saya terus pangku dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, kelakuan Allahyarham pelik hari ini kerana meminta izin mahu menunggang motosikal sendiri ke sekolah.

"Biasanya saya hantar dia setiap pagi, tetapi hari ini dia nak bawa sendiri motor kerana mahu singgah di rumah kawan ambil tudung waktu pulang sekolah.

Iklan

"Saya sempat berpesan padanya supaya bawa motor elok-elok sewaktu dia salam dan cium tangan saya ketika turun dari rumah," katanya.

Katanya, ALLAH lebih menyayangi anaknya yang merupakan anak ke-15 daripada 16 beradik apabila perginya di bulan Ramadan.

Katanya, jika itu ketentuan Ilahi walau pun pahit untuk ditelan, dia harus reda.

Hamid sedih menerima berita kematian anaknya, Siti Nor Hanim yang maut dirempuh kereta di Kampung Pasir Puteh.

Kemalangan jam 7.24 pagi tadi turut meragut nyawa rakan sekelasnya, Noor Asmida Ellyana Abdullah, 17, yang menunggang motosikal lain bersama adiknya.

Adik mangsa yang membonceng, Puteri Balqis Abdullah, 13, cedera di kepala, patah kaki dan dirawat di Hospital Tumpat.

Siti Nor Hanim Alya maut di tempat kejadian kira-kira 200 meter dari sekolah dan rakannya, Noor Asmida Ellyana disahkan meninggal dunia di Hospital Tumpat.

Ketiga-tiga mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan kemalangan tersebut.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa menaiki dua motosikal dari arah Pengkalan Kubur ke SMK Chabang Empat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda Accord dari arah Chabang Empat hilang kawalan dan masuk ke laluan jalan bertentangan.

"Kereta terbabit merempuh mangsa, Siti Nor Hanim Alya yang menunggang motosikal Honda Dash dan rakannya Noor Asmida Ellyana menunggang Yamaha Ego S bersama adiknya," katanya.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit menghilangkan diri dan meninggalkan kereta sejauh 150 meter dari lokasi kejadian kerana mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan pihaknya sedang mengesan pemandu terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar SMK Chabang Empat maut dirempuh kereta