PRN: Kekuatan BN hanya pulih dengan kemenangan

Iklan
Azhari Shaari, Adnan Seman

SHAH ALAM - Kekuatan Barisan Nasional (BN) hanya dapat dipulihkan semula dengan kemenangan calon BN yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menegaskan pemulihan parti itu juga tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya ahli BN menyokong parti lawan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gesaan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang mahu ahli UMNO menyokong calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN dilihat seolah-olah bermotifkan dendam.

"Kenyataan dia (Annuar) seolah-olah hendak membalas dendam pada UMNO sebab dengan keputusan (Annuar) menyertai parti lawan ini adalah satu keputusan yang ahli sendiri pun tidak suka.

Iklan

"Tak akan dia nak suruh pendokong UMNO menyokong parti lain namun saranan ini tidak beri kesan kepada akar umbi malah sikap keterbukaan ahli dilihat semakin positif terhadap perpaduan (gabungan BN - Pakatan Harapan) ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, Annuar minta ahli dan penyokong UMNO di enam negeri terlibat dalam PRN menyatakan sokongan kepada PN bagi menyelamatkan parti yang banyak berjasa demi pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan.

Iklan

Annuar dilaporkan media berkata, hanya ada satu ruang sekiranya UMNO ingin dipulihkan iaitu melalui referendum rakyat pada PRN, 12 Ogos ini.

"Ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan parti ini dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah dan hanya dengan kekalahan teruk barulah dapat diselamatkan," katanya semasa berucap pada Ceramah Umum di Mamba'ul Huda Tanjong Karang di sini, pada malam Sabtu.

Annuar memberitahu, sekiranya UMNO terus diberi mandat dalam PRN enam negeri ini, beliau bimbang parti itu terus menjadi alat kepada parti lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman pula berkata, jika bicara soal pemulihan UMNO, penyokong UMNO sepatutnya mengundi calon BN.

Menurutnya, memberikan kemenangan kepada calon PN di kawasan ditandingi calon BN hanya akan melemahkan lagi UMNO.

"Jadi pandangan Tan Sri Annuar Musa bagi saya tidak berasas kerana kalau kita bicarakan soal pemulihan UMNO dari sudut apa yang hendak pulihkan kalau PN menang," katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Mohamed Satim Diman berkata, sekiranya ahli UMNO menyokong parti 'sebelah sana' bagaimana parti itu hendak menang sedangkan UMNO dan BN mempunyai kepimpinan sendiri dan ahli yang cukup ramai.

"Ahli-ahli ini sentiasa menyokong kepimpinan jadi bagi saya kalau hendak berubah atau baik pulih UMNO, ahli sendirilah yang akan menentukan dan mestilah disokong dengan UMNO itu memenangi pilihan raya," katanya.

Ujarnya, jika parti itu tidak menang dalam PRN dengan sendirinya UMNO dan BN menjadi lemah malah kepimpinan parti berkenaan tidak akan disukai rakyat.

"Kalau dapat kemenangan dengan sokongan ahli dan pengundi sudah tentulah kedudukan bertambah kuat dan ahli akan menentukan kepimpinan masa hadapan untuk pastikan UMNO kekal relevan," katanya.