Ambil langkah lebih kukuh tangani ketirisan - G25

Iklan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih kukuh untuk menangani ketirisan yang timbul akibat rasuah, amalan ‘rent seeking’, salah pengurusan, kronisme, pilih kasih dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam di kementerian serta jabatan pelaksana.

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kemampanan peningkatan perbelanjaan belanjawan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Langkah-langkah untuk mengukuhkan asas hasil dan mengurangkan subsidi yang membazir juga harus menjadi sebahagian daripada pembaharuan kewangan untuk memastikan nisbah defisit fiskal terkawal.

G25 turut mengharapkan pembaharuan dilakukan, seperti menghapuskan fungsi pendakwaan Peguam Negara dan mewujudkan pejabat Pengarah Pendakwaan Awam yang bebas, mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat kelakuan polis dalam menguatkuasakan undang-undang.

Iklan

Selain itu, menyusun semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta JAC) sebagai perlindungan untuk memastikan badan kehakiman bebas daripada campur tangan politik.

"Ini semua bukanlah cadangan-cadangan baharu. PM sendiri, semasa menjadi pembangkang adalah penandatangan agenda reformasi yang dipersetujui dengan PM terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua tahun lalu,” katanya.

Iklan

Sementara itu, G25 menzahirkan sokongan terhadap Ekonomi Madani sebagaimana yang diumumkan Anwar pada 27 Julai.

Jelas kumpulan itu, dalam usaha untuk mencapai pertumbuhan dan objektif pengagihan di bawah Ekonomi Madani, objektif-objektif pembangunan hendaklah disertai dengan pembaharuan bagi kebebasan asasi atau hak asasi manusia, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pembaharuan tersebut penting supaya komuniti perniagaan, pelabur tempatan dan pelabur asing serta kumpulan tenaga kerja mahir dan profesional kita akan lebih yakin tentang masa depan negara sebagai sebuah negara berbilang kaum yang stabil.

"Kami percaya bahawa Ekonomi Madani akan mengukuhkan lagi kekuatan politik Kerajaan Perpaduan untuk mencapai prospek keamanan dan kestabilan di negara ini, walaupun terdapat pelbagai ucapan toksik tentang kaum dan agama daripada lawan politik PM.

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong Ekonomi Madani sebagai rangka tindakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dalam menyediakan keperluan asas rakyatnya, tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.