WALAUPUN sedang menjalani hukuman penggantungan selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim mungkin tetap akan dipanggil untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap 1 di Chengdu, China, bulan depan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon membayangkan akan membantu Mohamad Faisal bagi memastikan dia berada dalam keadaan terbaik sebelum dua perlawanan persahabatan; menentang Syria pada 6 September dan China, tiga hari kemudian.
"Dia telah bermain banyak perlawanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Saya tidak fikir ia (penggantungan) akan menjejaskan prestasinya.
"Kita akan hubungi dia dan bertanya bagaimana kita dapat boleh membantunya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2023 di sini, pada Selasa.
Mohamad Faisal baru-baru ini digantung permainan hingga 23 Ogos oleh jawatankuasa tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, pada 5 Ogos lepas jawatankuasa itu bersetuju membenarkan Mohamad Faisal menyertai semula latihan bersama Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya.
Malaysia akan memulakan kempen Pestabola Merdeka 2023 dengan menentang India pada 13 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kejohanan empat pasukan itu juga akan menyaksikan Palestin menentang Lubnan dalam satu lagi perlawanan, bagi penentuan untuk ke final, sama ada menentang Malaysia atau India pada 17 Oktober.
Untuk rekod, Malaysia muncul pasukan paling banyak memenangi Pestabola Merdeka dengan 12 gelaran termasuk memenangi kejohanan terakhir sejak kali pertama diadakan pada 1957. - Bernama