PUTRAJAYA - Seramai 474 ahli kontinjen pengakap Malaysia yang menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-25 di Saemangeum, Korea Selatan kini dalam proses ditempatkan semula ekoran ancaman gelombang haba, selain tapak jambori itu berada dalam laluan ribut tropika Khanun.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Selasa malam, mereka dipindahkan ke dua tempat iaitu ke Korea National University of Agriculture and Fisheries dan Jeonbuk National University di Jeonju-si, Jeollabuk-do.
Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau rapat proses itu dan berhubung secara langsung dengan wakil kontinjen Malaysia serta pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Pada Isnin (7 Ogos), Kementerian Luar Korea Selatan semasa sesi penerangan kepada kor diplomatik telah memaklumkan bahawa kerajaan negara itu akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, perubatan dan sajian kepada semua peserta.
Kerajaan negara itu turut memberi jaminan akan merombak semula program berkenaan dan menyelaraskan pelaksanaannya mengikut kesesuaian tapak baharu yang telah dipilih bagi memastikan objektif penganjurannya tercapai.
Kira-kira 43,000 pengakap muda dari 158 negara menyertai acara itu dari 1 hingga 12 Ogos 2023 di tapak perkhemahan di kawasan berdekatan pantai di barat daya negara itu.
Acara itu berdepan ketidaktentuan dari awal lagi apabila kontinjen Britain dan Amerika Syarikat menarik diri dari tapak perkhemahan akibat gelombang haba.
Selain itu, ribut tropika Khanun yang turut melanda Jepun dikatakan akan sampai di Korea Selatan pada Khamis, dengan tapak jambori itu berada dalam laluannya.
Wisma Putra akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung perkara itu dari semasa ke semasa. - Bernama