Pastikan gaji rakyat seimbang

Iklan
Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan mengambil kira pandangan dan kepentingan majikan serta pekerja. - Gambar hiasan

CADANGAN Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan mengambil kira pandangan dan kepentingan majikan serta pekerja.

Ia sebagai pelengkap kepada gaji minimum dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.Ini merupakan satu anjakan ke arah memulihkan pasaran kerja supaya gaji dapat ditingkatkan secara lebih konsisten di samping pengagihan lebih seimbang, bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

Iklan
Iklan

Selaras dengan Gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutama sebagai peneraju ekonomi Asia dan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, isu gaji menjadi perkara pokok yang tidak boleh diabaikan. Berdasarkan Laporan Statik Upah Pekerja (Sektor Formal) suku pertama 2023, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Iklan

Situasi ini lebih membimbangkan bagi golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun apabila gaji penengah mereka hanya RM1,682 sebulan. Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40 hingga 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

Cadangan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu bagaimanapun akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk diperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat.

Iklan

Lebih penting, dasar itu apabila dilaksanakan kelak dapat membantu menyeimbangkan antara peningkatan gaji dan kos sara hidup rakyat di bandar dan luar bandar serta dapat menangani masalah kenaikan inflasi.

Meskipun Malaysia menaikkan gaji minimum dari RM1,200 kepada RM1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022, pelaksanaannya masih perlahan. RM1,500 juga masih tidak cukup untuk menyara kehidupan.

Bank Negara Malaysia melaporkan, gaji mencukupi untuk menyara hidup pasangan suami isteri dengan dua orang anak di Kuala Lumpur pada masa kini ialah RM6,500 sebulan berbanding RM2,700 pada tahun 2016.

Isu gaji ini bukanlah baharu, malah sudah dibahaskan sejak sekian lama tetapi tiada penyelesaian tuntas.

Satu perubahan drastik amat diperlukan dan diharapkan dasar Gaji Progresif yang bakal dilaksanakan akan dapat mereformasi gaji pekerja, sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia.