GOMBAK - Tiada isu perebutan jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri antara PH dan BN jika gabungan itu menang pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya menafikan dakwaan tersebut seperti yang ditularkan di media sosial sejak Selasa.
Menurutnya, isu tersebut sengaja ditimbulkan pihak lawan yang dilihat cuba melaga-lagakan gabungan PH dan BN.
"Saya tak boleh tahan gelak sebab saya fikir mereka terlalu terdesak dan sudah tiada strategi lain yang akhirnya cuba melaga-lagakan BN dan PH.
"Politik jijik seperti ini sudah tak laku dan saya telah membuat pendirian yang jelas, mahukan Datuk Seri Amirudin Shari terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor," katanya ditemui pada Ceramah Pardana Arus Merah Kuning Gombak Setia pada Selasa.
Pada Selasa, tular di media sosial mengaitkan beliau bakal menggantikan tugas Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
Megat Zulkarnain menegaskan, beliau tidak berminat sebarang jawatan sebaliknya tumpuan terarah kepada memastikan Kerajaan Perpaduan terus memimpin negeri Selangor.
"Saya telah nyatakan secara jelas tidak berminat sebarang jawatan walaupun sebagai timbalan menteri besar atau exco kerajaan negeri kerana saya hanya mahu menjadi seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).
"Selebihnya saya akan meneruskan perkhidmatan sebagai setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Ini kerana beliau (Ahmad Zahid) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah boleh membantu kampung dan desa di Selangor khususnya di Gombak Setia," katanya.
Justeru beliau menasihatkan pihak lawan untuk lebih praktikal dan tidak memainkan isu politik seperti itu yang dianggap kelakar serta tidak disukai rakyat.
"Saya tidak pernah terfikir untuk dapat jawatan itu (MB) malah yang kita mahu supaya Kerajaan Perpaduan terus memimpin Selangor.
"Kita sudah bersetuju, saya sebagai Pengerusi BN Selangor telah berulang kali nyatakan kita mendokong dan memastikan Amirudin sebagai MB Selangor, yang telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri.