PORT DICKSON - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan membunuh bapanya, empat hari lepas.
Tertuduh, P Niruben, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita, namun tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati membunuh, K Paramasivan, 49, pada 5 Ogos lalu antara jam lebih kurang 12.20 tengah malam hingga 1.10 pagi di Taman D’Ambang Kota, Lukut di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 September ini sebagai sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dipukul oleh anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di taman berkenaan tengah malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 46 tahun dikatakan mabuk dan membuat bising sambil mengeluarkan kata-kesat sebelum berlaku pergaduhan antara dua beranak itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed suspek yang berusia 26 tahun kemudian ditahan di lokasi kejadian.