JAGUH negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah menempah tiket ke peringkat suku akhir acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland.
Tampil dalam aksi pusingan pertama (saringan ketiga) di Velodrom Sir Chris Hoy pada awal pagi Rabu, Azizulhasni menampilkan kayuhan bertenaga apabila muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.
Azizulhasni berjaya mengatasi pencabar terdekatnya yang juga pemenang pingat perak acara pecut dari Trinidad & Tobago, Nicholas Paul yang mengakhiri saingan di tempat kedua.
"Alhamdulillah saya memenangi pusingan pertama keirin dan akan beraksi pada peringkat suku akhir. Mohon doakan saya pada pusingan berikutnya... Insya-ALLAH," tulis Azizulhasni dalam laman Facebooknya.
Pada perlumbaan suku akhir awal pagi Khamis, Azizulhasni bakal berdepan laluan lebih getir apabila diletakkan satu kumpulan bersama naib juara edisi 2022, Jeffrey Hoogland dari Belanda.
Turut akan mencabar Azizulhasni yang juga bekas juara dunia ialah pelumba Australia, Tom Cornish yang mengecewakannya dalam aksi pusingan kedua acara pecut individu pada Isnin lalu.
Azizulhasni juga akan mendapat cabaran daripada tiga lagi pelumba - Maximilian Dornbach dari Jerman, Shinji Nakano (Jepun) dan Sam Dakin (New Zealand).
Mengikut jadual pertandingan, saingan separuh akhir dan akhir akan turut dijadualkan berlangsung pada awal pagi Khamis.
Dalam pada itu, dua lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas terkandas pada pusingan pertama.
Selepas terkandas awal, kedua-dua pelumba itu tampak masih berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir apabila layak beraksi dalam saingan repechage.
Bagaimanapun, Shah Firdaus dan Ridwan sekali lagi terpaksa akur dengan barisan pencabar masing-masing, sekali gus gagal meneruskan perjuangan mereka dalam acara tersebut.