KUALA LUMPUR - Sindiket 'curi' lebih 80,000 liter diesel subsidi bernilai hampir RM172,000 setiap hari di sebuah stesen minyak di sini sebelum disimpan di stor untuk tujuan eksport terbongkar menerusi serbuan pada 1 Ogos lalu.
Op Tiris itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pasukan serbuan bertindak menyerbu sebuah stesen minyak di Cheras dan stor haram di Sungai Besi.
Menurutnya, risikan dua minggu KPDN Kuala Lumpur mendapati terdapat lima lori bonded yang diubah suai tangki akan membuat pembelian diesel bersubsidi di enam stesen minyak sekitar ibu negara sebelum membuat penghantaran ke stor haram.
"Sebuah stesen minyak di Cheras membabitkan paling banyak transaksi di mana kelima-lima lori ini akan datang secara bergilir di mana kuantiti pembelian pada setiap hari adalah dianggarkan melebihi 80,000 liter iaitu melibatkan jumlah pembayaran secara tunai hampir RM172,000.
"Kesemua lori ini menjalankan aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di sekitar Kuala Lumpur seawal jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Kata Nurul Syarina, bekalan tersebut akan disimpan di stor haram terbabit sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual kepada pihak ketiga di sekitar Lembah Klang serta di selatan dan utara semenanjung bagi tujuan eksport ke luar negara.
Beliau berkata, sehari dianggarkan terdapat tiga atau empat lori tangki akan memasuki stor terbabit bagi mendapatkan bekalan diesel subsidi.
Katanya, serbuan di stor itu bertindak merampas 35,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah RM75,250 selain sitaan sebuah lori tangki, lori bonded (empat), pam (tujuh), 16 buah empat unit IBC tank (intermediate Bulk Container), hos minyak (lapan) dan resit-resit pembelian.
Tambah Nurul Syarina, lima individu disyaki pemandu lori dan pekerja stor telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, serbuan di stesen minyak terbabit bertindak menahan seorang lelaki tempatan iaitu pemandu lori yang sedang membuat pengisian minyak diesel di stesen berkenaan.
"KPDN Kuala Lumpur telah bertindak menyita sebuah lori bonded selain 1,630 liter minyak diesel, empat IBC Tank, satu unit pam serta hos dan resit-resit pembelian minyak diesel bersubsidi.
"Pemilik stesen ini disiasat Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan iaitu membenarkan sesebuah kenderaan membuat pembelian diesel berulang kali pada hari yang sama di stesen berkenaan serta Peraturan 13(2) PPKB 1974 kerana gagal menyelenggara buku stok," ujarnya.
Katanya lagi, dipercayai sindiket itu telah aktif sejak dua bulan lalu dengan menguasai kawasan tertentu.
"KPDN Kuala Lumpur memberi amaran dan mana-mana pihak stesen minyak yang terlibat akan disiasat untuk tindakan pelesenan. Usah mengambil kesempatan dengan subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan," jelasnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.