Tabung bencana alam untuk kegunaan semua ADUN Sabah

Iklan
Masidi

KOTA KINABALU - Tabung bencana alam akan ditubuhkan untuk kegunaan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah bagi tujuan bencana alam yang berlaku di kawasan masing-masing.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketika ini peruntukan khas spesifik untuk tujuan bencana alam memang telah disediakan namun bukan untuk semua ADUN.

Iklan
Iklan

"Soal peruntukan khas spesifik untuk tujuan bencana alam dan sebagainya memang kita sedia ada tetapi bukan untuk setiap ADUN kerana kadang-kadang ada kawasan tidak ada bencana alam, ada kawasan berlaku bencana alam. Kita tidak boleh rangkumkan bahawa semua ADUN mesti ada peruntukan.

"Apa yang kita buat ialah, kita sediakan peruntukan khusus itu sebenarnya apabila saya bentang rang undang-undang (RUU) nanti mengenai tabung amanah, salah satu fokus kita tumpukan penubuhan tabung bencana alam ini dan akan diguna semua ADUN di mana saja mereka berada," katanya bagi menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Iklan

Beliau sebelum itu menjawab soalan tambahan daripada Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (BN-Nabawan) berhubung adakah kerajaan bercadang untuk sediakan penambahan dana khas untuk setiap ADUN khusus untuk kegunaan kecemasan atau bencana alam di kawasan DUN masing-masing.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fat memaklumkan bahawa peruntukan pembangunan disediakan oleh kerajaan negeri kepada semua kawasan DUN setiap tahun bagi membolehkan semua ADUN dapat melaksanakan tanggungjawab membangun dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing dan ia diselaras serta dipantau oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Iklan

"Di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak tahun 2021 peruntukan kepada setiap kawasan DUN kerajaan telah dinaikkan sebanyak RM1,000,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan Program Sentuhan Kasih.

"Pada tahun 2021, sejumlah RM1,000,000 telah diperuntukkan kepada setiap ADUN kerajaan dengan agihan RM700,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM300,000 untuk Program Sentuhan Kasih manakala pada tahun 2022 peruntukan kepada setiap ADUN kerajaan telah dinaikkan kepada RM2,000,000 iaitu dengan agihan RM1,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih.

"Pada tahun 2023 pula, sejumlah RM3,000,000 telah diperuntukkan kepada setiap ADUN kerajaan iaitu dengan agihan RM2,500,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 untuk Program Sentuhan Kasih," katanya.