Bayern tambah bajet pikat Kane

Iklan
Kane - Foto Agensi

BAYERN Munich enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha untuk melamar pemain sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane apabila bersedia menambah bajet mencecah 94 juta pound (RM549.4 juta).

Bidaan 86 juta pound (RM502.6 juta) yang dibuat Bayern ditolak Spurs semalam.

Iklan
Iklan

Ini merupakan bidaan keempat dan Bayern tidak akan berputus asa untuk mendapatkan Kane, lapor TalkSport.

Kane berharap masa depannya dapat diputuskan sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford pada Ahad.

Iklan

Pemain berusia 30 tahun itu mempunyai pilihan untuk kekal bersama Spur, biarpun kontraknya akan berakhir penghujung musim.

Tawaran 94 juta pound (RM549.4 juta) Bayern itu kurang 6 juta pound (RM35 juta) berbanding permintaan 100 juta pound (RM584.4 juta) oleh Spurs untuk kapten England itu.

Iklan

Di sebalik tawar-menawar itu, Kane dikhabarkan tidak terdesak untuk berhijrah dari kelab London Utara tersebut.

Malah dia memakai lilitan kapten dalam ketiga-tiga aksi persahabatan pramusim Spurs di bawah bimbingan Ange Postecoglou dan menyumbat empat gol ketika menang 5-1 ke atas Shakhtar Donetsk.

Postecoglou juga bangga dengan prestasi Kane dan tidak menolak kemungkinan dia akan diturunkan pada aksi pertama Spurs menentang Brentford.

"Sudah pasti saya akan menggunakan Harry.

"Dia seorang penyerang yang hebat, antara yang terbaik di dunia. Cara pasukan bermain akan membantunya,” ujar Postecoglou.