Operasi carilamat tekong bot karam ditamatkan

Iklan
Anggota Maritim Malaysia melaksanakan operasi carilamat mangsa bot karam di perairan Kuala Pahang sebelum ditamatkan pada Selasa selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) seorang tekong bot nelayan tempatan yang hilang dalam kejadian bot karam di lokasi 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang ditamatkan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, carilamat ditamatkan jam 7 petang pada Selasa selepas empat hari operasi pencarian mangsa, Mat Rifin Awang Kecik, 66, dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemantauan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa.

"Komuniti maritim sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu, bot dinaiki tiga kru termasuk mangsa terbalik sebelum karam dipercayai akibat dipukul ombak.

Dalam kejadian itu, dua mangsa yang terselamat, Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, sempat berpaut pada tong minyak sebelum hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian sebelum diselamatkan bot nelayan kira-kira jam 9 pagi.

Iklan

Sementara itu, Kamal Ariffin turut meminta orang ramai berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 untuk sebarang kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut.