PETALING JAYA - Ibu kepada penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman buat pertama kalinya dilihat hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi memberi semangat kepada anak lelakinya itu, yang berdepan kes dadah.
Sebaik Yasin, 48, dibawa masuk ke kandang tertuduh, Suzanah Abdullah, 73, mendekati anaknya itu untuk bertanya khabar.
Sesekali dia membelai Yasin yang kelihatan semakin berisi selepas dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada Jun lalu.
Sementara itu, adik Yasin, Marwan Sulaiman, 31, berkata, walaupun kesihatan ibu tidak begitu baik, namun tetap hadir ke mahkamah kerana mahu memastikan pelantun lagu 'Mimpi Laila' tersebut berada dalam keadaan baik.
"Mengenangkan usianya melewati 70 tahun dan agak uzur, namun ibu selalu menziarahi Yasin di penjara dan ini kali pertama dia menjejakkan kaki di mahkamah," katanya.
Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes dadah Yasin: 10 saksi dipanggil beri keterangan
Yasin masih di Hospital Bahagia
Yasin diarah rujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental
[VIDEO] Yasin lega terlepas hukuman gantung
Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati
'Dulu Yasin kurus nampak tulang, sekarang sudah berisi'
Yasin harap PM tambah baik undang-undang lapuk
Yasin hidap bipolar, tidak waras ketika kejadian - Pendakwaan
Yasin gagal representasi pertama
Pertuduhan edar dadah terhadap Yasin ditukar memiliki
Yasin kemuka representasi kaji pertuduhan kes dadah
Pertuduhan tanam 17 pokok ganja babit Yasin kekal