SHAH ALAM - Polis Selangor menerima 64 laporan dan membuka lima kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima kertas siasatan itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 4 (A) (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 435 dan Seksyen 427 kanun keseksaan.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hussein berkata, sebanyak 48 laporan polis diklasifikasikan sebagai NOD ( no offence disclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.
"Laporan itu dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor.
"Sebanyak empat laporan diklasifikasikan ROR (refer other report), empat laporan lagi diklasifikasikan NFA (no further action) dan tiga laporan diklasifikasikan (ROA (refer other agency)," katanya.
Beliau berkata berkata, pihaknya mendapati hanya satu kempen dijalankan tanpa permit.
"Setakat Selasa, 191 kempen dan 79 ceramah dijalankan dengan memiliki permit," katanya.
Menurutnya, semua calon parti diingatkan supaya tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) semasa berkempen.
"Jika mana-mana calon parti tidak mematuhi peraturan ini, ianya boleh disiasat bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.