Harimau Malaya sahut cabaran 15 terbaik Asia

Iklan
Pan-gon

SKUAD bola sepak lelaki negara, Harimau Malaya sedia menggalas cabaran untuk muncul sebagai 15 pasukan terbaik Asia suatu hari nanti.

Bagaimanapun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, misi itu tidak akan tercapai dalam masa singkat, melainkan seluruh pasukan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

Iklan
Iklan

Isnin lalu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan harapannya untuk melihat pasukan kebangsaan, yang kini di ranking ke-24 Asia, mendaki anak tangga itu dan mencapai kedudukan 15 teratas pada masa depan.

Sementara itu, Pan-gon berkata, beliau akan mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China, bulan depan.

Iklan

Beliau berkata, ini termasuk memanggil pemain sayap sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi untuk beraksi dalam perlawanan menentang Syria pada 6 September dan China (9 September) itu.

Meskipun pemain berusia 21 tahun itu masih boleh bermain untuk Kelayakan Piala Asia Bawah-23 (B-23) 2024 pada 4 hingga 12 September, Pan-gon bertegas untuk menggunakan khidmat pemain itu dalam skuad senior bagi tugasan di China.

Iklan

"Kami akan cuba memilih pemain terbaik (untuk perlawanan persahabatan di Chengdu) sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 November ini, diikuti kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan,” katanya.

Dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang perlawanan antara Taiwan dan Timor Leste.

Bagi pusingan akhir Piala Asia 2023, dari 12 Januari hingga 10 Februari tahun depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan selain Jordan dan Bahrain. - Bernama