Othman Hafsham ulas reboot filem Rahsia

Iklan
Filem reboot Rahsia diarahkan oleh Shamyl. (Gambar kecil: Shamyl, Othman)

PENGARAH Terbaik Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) menerusi filem Rahsia, Othman Hafsham berpuas hati dengan filem reboot berjudul sama yang diarahkan oleh anaknya, Shamyl.

Ujar Othman, biarpun 70 peratus jalan cerita sudah diubah, setiap naskhah mempunyai keistimewaan masing-masing.

Iklan
Iklan

"Saya rasa filem Rahsia yang baharu nampak perubahan dibandingkan dengan naskhah yang saya arahkan sebelum ini. Itu yang penting.

Othman berkata demikian ketika ditemui usai Malam Gala Filem Rahsia di GSC Mid Valley baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai Rahsia 2023 yang dibintangi Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Marsha Milan, Eman Manan, Rashidi Ishak, Nur Qistina Raisah dan Syed Ali Murtadha itu, Othman mengakui agak sukar untuk memahami syot yang digunakan.

"Saya ini orang lama, sudah terbiasa dengan cara lama. Teknik yang digunakan Shamyl termasuk dalam suntingan berbeza dengan cara saya.

Iklan

"Namun lama-kelamaan saya boleh terima pembaharuan itu kerana ini gaya pembikin filem sekarang.

"Tak ada babak yang saya tak suka atau berharap diwujudkan kerana sudah lengkap penceritaannya," jelasnya yang kali terakhir mengarahkan filem Karipap Karipap Cinta lakonan Gambit Saifullah.

Sebelum ini, filem Rahsia yang diterbitkan pada tahun 1987 dibintangi Shukery Hashim, Noorkumalasari, Noraini Hashim, S. Roomai Noor, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Filem tersebut memenangi Filem Terbaik di FFM7, di samping anugerah lain seperti Jurugambar Terbaik (Zainal Othman), Penyuntingan Terbaik (Elias Maidin), Penataan Muzik Terbaik (Adnan Abu Hassan & Susan Goh), Penataan Seni Terbaik (Zabereen Kemal), Penataan Bunyi Terbaik (Kamal Mustaffa) dan Pelakon Kanak-kanak Terbaik (Fazrideen Fadzil).