SEGiM perlu beri manfaat secara menyeluruh

Iklan
WAN AGYL WAN HASSAN

Ambil kira kepentingan pemain industri, penyedia platform dan pengguna

WAN AGYL WAN HASSAN

AMPANG – Kerajaan diharapkan dalam melaksanakan kajian yang lebih terperinci sebelum membuat apa-apa pengumuman rasmi berkenaan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Iklan
Iklan

Harapan itu dilontarkan bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SAPD), Wan Agyl Wan Hassan supaya rancangan penubuhan SEGiM benar-benar mampu menangani masalah yang dihadapi para pemain industri.

Katanya, tanpa menubuhkan SEGiM, kerajaan sebenarnya boleh menyelesaikan isu perlindungan sosial, keselamatan dan kebajikan para pemain sektor ekonomi ini dengan menambahbaik bidang kuasa atau prosedur kementerian-kementerian yang sedia ada.

Iklan

"Isu yang sering dibangkitkan oleh para pemain industri ekonomi gig ini adalah berkaitan dengan kebajikan dan keselamatan. Isu ini boleh diselesaikan melalui kementerian-kementerian berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Tambah Wan Agyl, isu para pemain industri sektor gig mungkin disebabkan ada di antara mereka mengemukakan pandangan atau aduan kepada kerajaan, namun tidak mendapat maklum balas yang sewajarnya.

Iklan

"Keadaan ini mungkin disebabkan mereka (kementerian atau agensi) tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu pemain industri,” jelasnya lagi.

Wan Agyl berpendapat masalah yang dihadapi oleh para pemain industri gig boleh diselesaikan melalui peranan serta bidang kuasa kementerian sedia ada

Wan Agyl berkata demikian sebagai mengulas hasrat kerajaan yang bersedia menubuhkan SEGiM secepat mungkin bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan para penggiat industri ekonomi gigi.

Hasrat kerajaan itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi laporan media pada 17 Julai lalu selain memaklumkan Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan memorandum kepada kabinet bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan penubuhan SEGiM yang dirancang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Dalam pada itu, Wan Agyl turut mencadangkan supaya kerajaan bertindak pantas dalam menangani masalah yang sedia ada tanpa menunggu penubuhan SEGiM yang mungkin akan mengambil masa yang panjang.

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu meskipun akan memberi manfaat kepada para pemain industri, ia perlu melalui pelbagai proses pembentukan akta baharu yang memerlukan bacaan kali pertama, kali kedua dan kali ketiga di Dewan Rakyat kemudiannya di Dewan Negara sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Malah, beliau turut menyifatkan penubuhan SEGiM juga perlu mengambil kira keperluan dan saiz sebenar pemain industri dalam negara.

Ini kerana katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya sekitar 20 peratus hingga 30 peratus sahaja pemain industri ekonomi gig bekerja sepenuh masa manakala sebahagian besar lagi bekerja separuh masa.

Penubuhan SEGiM perlu memberi manfaat secara menyeluruh kepada para pemain industri, penyedia platform dan pengguna

Berkenaan cadangan kerajaan untuk meletakkan harga lantai penghantaran pada kadar RM7, Wan Agyl menyatakan perkara itu perlu diteliti semula kerana dibimbangi akan membebankan para pengguna sekali gus menjejaskan pendapatan para pemain industri.

"Kerajaan sepatutnya duduk berbincang bersama-sama penyedia platform dan menjadi orang tengah dalam soal penetapan harga lantai serta mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak (penyedia platform, pemain industri dan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan supaya melihat semula dasar pendidikan yang sedia supaya golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak hanya bergantung kepada sektor ekonomi gig semata-mata sebagai pekerjaan utama.

Menurutnya, pembangunan negara memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang khususnya dalam sektor teknikal dan vokasional.

"Pada masa sama, kerajaan seharusnya membenar serta menyokong mereka (para pemain industri) untuk menambah kemahiran sedia ada dengan mengikuti apa-apa kursus yang ditawarkan.

"Bukan itu sahaja, kerajaan perlu memastikan penyedia platform juga memainkan peranan menggalakkan para pemain industri tingkatkan kemahiran mereka supaya tidak selama-lamanya mengabdikan diri bekerja dalam sektor itu,” katanya.